TUMPAT: Sebanyak lima balai polis yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini mengalami kerosakan apabila dinaiki air akibat limpahan Sungai Golok semasa banjir, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, balai polis terbabit adalah Balai Polis Rantau Panjang, Bakong dan Jeram Perdah di Pasir Mas serta Simpangan dan Kuala Jambu di Tumpat.

Beliau berkata terdapat beberapa lagi balai polis yang terkesan namun tidak seteruk balai polis yang berada di kawasan sempadan.

"Kesemua laporan kerosakan ini akan dihantar ke Bukit Aman untuk dibuat penilaian sebagaimana arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri dalam lawatan beliau ke Kelantan baru-baru ini.

"Dari segi kerosakan kita dapati kebanyakannya melibatkan struktur bangunan kerana dinaiki air sedalam antara satu hingga 1.5 meter. Kesemua peralatan lain sebenarnya sudah dialihkan lebih awal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan 50 kotak bakul makanan daripada Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra kepada mangsa banjir di Sekolah Menengah Arab Nurul Huda Kajang Sebidang, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki berkata, pihaknya menerima sebanyak 1,278 laporan berkaitan kerosakan disebabkan banjir sehingga hari ini yang melibatkan kerosakan rumah, tanaman serta beberapa kerosakan lain.

"Kesemua laporan itu akan disalurkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan boleh dijadikan rujukan termasuk untuk sumbangan kepada mangsa terlibat," katanya.

-- BERNAMA