BERA: Lima orang cedera ringan selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu terjatuh atas landasan kereta api di KM 43, Jalan Temerloh-Bahau, pagi Sabtu.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Bera, Suprintendan Mansor Samsudin yang berkata, kejadian itu turut membabitkan empat buah kenderaan lain.

"Kemalangan berlaku sekitar jam 7.45 pagi, dan membabitkan lima buah kenderaan di KM 43 dekat Mengkuang. Namun, sebuah kenderaan telah terjatuh ke landasan kereta api.

"Kesemua lima mangsa dibawa keluar oleh anggota bomba dan telah dihantar ke Klinik Kesihatan Triang untuk rawatan," katanya di sini, hari ini.

Katanya, setakat ini, hanya dua laporan daripada mangsa kemalangan mengenai kejadian itu telah diterima, manakala tiga lagi belum dikenal pasti.

Difahamkan, kenderaan Proton Exora yang dinaiki mereka telah dialihkan dari landasan keretapi tersebut.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59).