Lima lelaki ditahan selepas mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan, dalam pemeriksaan di sekitar bandar ini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata, dalam kes individu pertama, selain ingkar PKP, semasa ditangkap dia didapati memiliki senjata merbahaya serta turut dikehendaki atas jenayah rogol tahun 2011.

Sementara empat yang lain, berumur antara 40 dan 60 tahun, ditahan ketika berkumpul tanpa alasan munasabah di sekitar taman perumahan mereka.

"Pertama, satu lelaki Melayu yang kita tangkap dengan beberapa kesalahan iaitu memiliki senjata merbahaya, juga didapati 'wanted' kes daerah Kuantan dan melanggar peraturan PKP.

"Jadi, tiga kesalahan dilakukan dengan sengaja. Seterusnya, kita telah meneruskan operasi di kawasan Perumahan Pak Mahat Sungai Soi dan kita telah menahan empat lelaki Melayu," katanya.

Tangkapan pertama disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Senjata Merbahaya Dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Manakala empat yang lain disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang boleh didenda atau penjara 1 tahun atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.