Kementerian Sumber Manusia (MOHR) yang mengguna pakai Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) kini sedang melaksanakan lima inisiatif untuk menghasilkan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.

Ketua Setiausahanya Datuk Seri Adenan Ab Rahman berkata di bawah payung NBOS, kementerian itu bekerjasama dengan banyak kementerian dan agensi untuk menyampaikan perkhidmatan bernilai tinggi kepada rakyat dengan kos yang rendah, selari dengan tiga prinsip iaitu impak tinggi, kos rendah dan pelaksanaan yang pantas.

"Sebagai contoh, 1Master adalah satu inisiatif yang diselaraskan oleh kementerian melalui kerjasama dengan empat kementerian yang menawarkan kemudahan latihan kemahiran," Adenan memberitahu satu sesi serempak bertajuk "Menggunakan Kreativiti Manusia untuk Mempercepatkan Pembangunan" pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Strategi Lautan Biru (ICBOS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini pada Selasa.

Adenan berkata 1Master (Latihan dan Peningkatan Kemahiran untuk Rakyat 1Malaysia) telah melatih lebih 73,000 peserta dalam tahun lepas dan menyasarkan untuk meningkatkannya kepada 75,000 peserta tahun ini.

Inisiatif lain yang diambil oleh kementerian termasuk Skim Pembangunan dan Kemahiran 1Malaysia (SKK1M), 'Housewives Enhancement and Reactivate Talent Scheme' (HEARTS) dan Polisi 1Visit serta kampus satelit Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST).

Sementara itu Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Datuk Dr Mazlan Yusoff menekankan kepentingan kepimpinan di dalam meningkatkan produktiviti dan memaksimumkan bakat yang tidak digunakan di dalam sesebuah organisasi.

Beliau berkata pelaksanaan pendekatan Kepimpinan Lautan Biru tahun ini dijangka mentransformasikan Jabatan Perkhidmatan Awam kepada organisasi yang mempunyai kepimpinan berkesan di setiap peringkat.

Mazlan juga berkata keseluruhannya perubahan telah berlaku dalam sektor awam kerana 80 peratus daripada tenaga kerja adalah daripada Generasi X dan Y.

"Peranan kerajaan masih sebagai fasilitator pembangunan. Kami perlu bekerja sama dengan sektor swasta kerana kami berhadapan dengan generasi baharu yang mempunyai permintaan yang berbeza dan idealisme yang berlainan, mereka perlu difahami," katanya.

ICBOS, bertemakan Mentransformasi Negara menerusi Kreativiti dan Inovasi dianjurkan bersempena Minggu Antarabangsa Strategi Lautan Biru Kebangsaan, yang bermula Ahad lepas dan berakhir pada 20 Ogos ini.