KUCHING: Sarawak telah menetapkan lima lagi kawasan daratan untuk diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) bagi mencapai sasaran satu juta hektar kawasan berkenaan menjelang 2025.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kawasan TPA itu terdiri daripada Taman Negara Tutoh-Apoh, Rizab Semulajadi Bukit Lima, Taman Negara Kubah, Rizab Semulajadi Matang dan Taman Negara Bako Buntal Bay.

"Kesemua kawasan itu sudahpun di peringkat pewartaan awal dan dijangka menyumbang kepada pertambahan keluasan kawasan daratan yang diwartakan sebagai TPA," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua negeri itu berkata setakat ini, sebanyak 67 TPA telah diwartakan dan dikawal selia oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), dengan jumlah keseluruhan kawasan seluas lebih kurang 2.12 juta hektar, terdiri daripada kawasan marin seluas kira-kira 1.24 juta hektar dan daratan seluas 872,386 hektar.

Dalam pada itu, Awang Tengah berkata kementeriannya sedang mengenal pasti lokasi pengumpulan buangan elektrikal dan elektronik (BEE) tambahan untuk memudahkan orang ramai melupuskan barangan berkenaan yang telah rosak dan usang di seluruh Sarawak.

"Pada masa ini, kemudahan pusat pengumpulan berdaftar telah diwujudkan di Kuching dan Miri. Cadangan untuk penubuhan kemudahan pemerolehan kembali BEE di Sarawak sedang dalam penelitian untuk menentukan daya maju dan kebolehlaksanaannya," katanya.

Katanya, dari Januari hingga 31 Okt, sebanyak 96,525 kilogram (96.52 tan metrik) telah berjaya dikumpul melalui kempen BEE di 32 lokasi di seluruh Sarawak.

-- BERNAMA