Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar atas tuduhan menculik lapan lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar pada 6 September lalu.

Mereka turut dituduh meminta RM15,000 setiap seorang sebagai wang tebusan.

Pertuduhan terhadap masing masing dua warga tempatan Mohd Ibroni Abdullah, 36 tahun dan Zainal Nanyan, 32 tahun, dua warganegara Myanmar, Zangir Alam Abdul Hussin dan Saiful Shona Miya serta seorang warga Bangladesh, dikenali sebagai Akhbar dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan majistret Mohd Khairul Hafizzudin Ramli.

Mereka didakwa bersama-sama menculik, mengurung serta menahan lapan lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar berusia 22 hingga 45 tahun di rumah beralamat No. 51 Kampung Asam Jawa, Pendang, kira-kira 2.30 pagi bagi mendapatkan wang tebusan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua individu yang tertuduh.

Mohd Khairul kemudian menetapkan 24 Oktober ini untuk sebutan semula kerana memerlukan jurubahasa bagi tiga tertuduh warga Bangladesh dan Myanmar.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Eliana Ismail dan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.