Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Lima pendaki tersesat di Bukit Larut diselamatkan

Lima pendaki yang tersesat di Bukit Larut, Taiping berjaya diselamatkan lewat malam tadi. Foto JBPM Perak. 
Ketua operasi memaklumkan operasi terkawal dan mangsa-mangsa telah dijumpai dalam keadaan selamat, tidak mengalami kecederaan serius dan kekejangan kaki akibat keletihan. - Foto JBPM Perak.
Advertisement

IPOH: Lima pendaki yang tersesat ketika beraktiviti di Bukit Larut, Taiping petang semalam, berjaya diselamatkan lewat malam tadi.

Mangsa terdiri daripada dua lelaki masing-masing berumur 26 tahun dan tiga wanita kesemuanya berumur 29 tahun.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat kecemasan 999 mengenai kejadian itu pada 6.01 petang semalam.

Menurutnya sebaik menerima maklumat, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping dan Kamunting digerakkan ke lokasi.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, ketua operasi dimaklumkan oleh pihak polis bahawa pemanggil telah berjaya dihubungi dan telah sesat bersama empat orang sahabat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, ketua operasi telah berjaya mendapatkan lokasi mangsa dan bergerak untuk melakukan operasi penyelamatan dengan bantuan Land Rover dari pihak pengurusan Bukit Larut.

“Ketua operasi melakukan size up dan membuat perbincangan bersama dengan Renjer Hutan, seterusnya mengaplikasikan konsep LAST dengan mengarahkan anggota kerja-kerja penyelamatan,” ujarnya.

Menurutnya, pada jam 9.42 malam, ketua operasi memaklumkan operasi terkawal dan mangsa-mangsa telah dijumpai dalam keadaan selamat, tidak mengalami kecederaan serius dan kekejangan kaki akibat keletihan.

Katanya, mangsa kemudiannya dibawa turun dari atas bukit dan diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang membabitkan 15 anggota bomba dengan bantuan lapan anggota polis dan dua kakitangan pengurusan Bukit Larut tamat sepenuhnya jam 12.03 tengah malam.

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement