KUALA LUMPUR:Lima penjawat awam adalah antara 15 orang yang ditahan selepas terlibat dengan parti liar di sebuah kondominium di Bukit Bintang, di sini awal pagi Isnin.

Serbuan itu dibuat pada jam 4 pagi oleh sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, terhadap kondominium terbabit yang ditempah menerusi sebuah aplikasi penginapan popular.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, kesemua yang ditahan terdiri daripada tujuh orang lelaki dan lapan orang wanita dimana 12 daripada mereka dikesa positif dadah jenis campuran yang telah dibancuh.

“Tujuan parti liar diadakan untuk menyambut hari lahir salah seorang suspek yang ditahan serta berseronok sambil mendengar muzik rancak.

“Jemputan dibuat menerusi aplikasi WhatsApp dan disebarkan kepada rakan-rakan lain sebelum mereka memasuki rumah tersebut pada jam 2 petang Ahad," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Difahamkan, unit kondominium tersebut disewa dengan harga RM1,100 dimana kesemua mereka berkongsi untuk membuat bayaran tersebut.

15 individu yang ditahan turut dikenakan kompaun RM1,000 atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kesemua mereka yang berusia 20 hingga 40 tahun itu dibawa ke lokap IPD Dang Wangi dan direman selama empat hari bermula Isnin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5(1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 11 Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.