KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Fadzli Mohamad Kamal menzahirkan rasa pilu atas tragedi kebakaran yang meragut nyawa lima sekeluarga di Kampung Pamah Kulat, Dong, awal pagi Khamis.
Fadzli, yang juga Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, berkata kejadian itu amat menyentuh perasaannya kerana beliau baru sahaja bertemu dengan salah seorang mangsa, Allahyarham Mohd Awi Muhammad, pada awal Ramadan lalu.
Advertisement
“Pilu dan sedih pagi ini setelah mendapat perkhabaran lima sekeluarga terkorban dalam satu kebakaran di sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Dong, awal pagi tadi. Saya terus ke tempat kejadian sesudah subuh tadi bagi melihat sendiri situasi sebenar.
“Kebetulan, saya baru bersua dengan Allahyarham Awi pada hari pertama Ramadan baru-baru ini,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau hari ini.
Tragedi kira-kira jam 3.40 pagi itu mengorbankan Mohd Awi bersama isteri dan tiga anak perempuannya, manakala dua lagi anak mangsa terselamat kerana tidak berada di rumah ketika kejadian.
Dua anak mangsa yang terselamat dikenal pasti sebagai Ahmad Balia Murqam, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong, dan Ruby Adalia Balqis, pelajar Kolej Matrikulasi Pahang di Gambang.
Fadzli turut menyeru orang ramai agar mendoakan kekuatan dan ketabahan buat ahli keluarga mangsa dalam menghadapi ujian berat tersebut.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar ahli keluarga arwah dikurniakan kekuatan dan ketabahan oleh Allah SWT untuk menempuh ujian yang cukup besar ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim mengesahkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.44 pagi.
Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub telah digerakkan ke lokasi dan mendapati struktur rumah telah musnah 100 peratus.
Kebakaran turut memusnahkan tiga buah kereta dan tiga buah motosikal milik keluarga berkenaan.