Skip to main content

Malaysia

Lima sekeluarga maut kebakaran: Keadilan Pahang ucap takziah, salur bantuan

mangsa kebakaran
Lima sekeluarga itu ditemui maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, di sini awal pagi tadi. - Gambar/ FB Farhan Fauzi

KUALA LUMPUR: Keadilan Pahang menzahirkan ucapan takziah dan rasa dukacita yang mendalam susulan tragedi kebakaran yang mengorbankan lima sekeluarga di Raub awal pagi tadi.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) itu, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, menyifatkan insiden itu sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada masyarakat Raub tetapi seluruh rakyat negeri Pahang.

Advertisement

"Kehilangan lima nyawa dalam satu keluarga secara serentak adalah satu ujian yang sangat meruntun jiwa.

"Saya mendoakan agar dua anak mangsa yang terselamat yang kini masing-masing sedang menuntut di Kolej Matrikulasi Gambang dan SMK Dong diberikan ketabahan, kesabaran, dan kekuatan iman yang setinggi-tingginya.

"Kehilangan mengejut seluruh ahli keluarga tercinta merupakan satu trauma yang amat berat untuk dipikul," katanya.

Beliau berkata, sebagai tanda solidariti dan keprihatinan, pihaknya melalui KEADILAN Cabang Raub akan segera menyalurkan bantuan awal bagi meringankan beban yang ditanggung oleh waris mangsa.

"Fokus utama kami adalah untuk memastikan kebajikan dan kelangsungan pendidikan kedua-dua anak mangsa yang masih belajar terus terbela dalam waktu yang sukar ini." katanya.

Lima sekeluarga itu ditemui maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, di sini awal pagi tadi.

Mangsa yang terkorban ialah Mohd Awi Muhammad, 56, isterinya Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak mereka, iaitu Ruby Adira Batrisya Mohd Alawi, 17, Ruby Adlina Banin Mohd Alawi, 14, dan Ruby Azyan Barizah Mohd Alawi, 10.
 

Must Watch Video