MALAYSIA
Lima suspek 'geng magic' perdaya pelancong asing ditahan

Sulizmie Affendy (kiri) menunjukkan suspek kes curi melibatkan bukan warganegara ketika sidang media mengenai kejayaan tangkapan dan rampasan kes ragut dan kes curi melibatkan bukan warganegara di IPD Dang Wangi hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Polis menahan lima warga asing dipercayai anggota "geng magic" kerana disyaki terlibat memperdaya pelancong asing di sekitar ibu negara untuk mengambil wang milik mangsa tanpa disedari.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata kesemua suspek dari negara Timur Tengah itu, ditahan dalam dua serbuan berasingan masing-masing pada 22 dan 24 Julai di sekitar Kuala Lumpur.
"Dalam serbuan pertama, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 50 tahun di sekitar Jalan Sultan Ismail dan merampas mata wang pelbagai negara seperti Eropah, Asia Selatan, Timur Tengah, Asia Tengah dan Asia Tenggara bernilai lebih RM16,000.
"Dalam serbuan kedua di Jalan Bukit Bintang, seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an ditahan dan wang tunai lebih RM360 telah dirampas," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.Sulizmie berkata siasatan mendapati modus operandi kumpulan berkenaan ialah berpura-pura berminat untuk melihat mata wang negara mangsa.
Sulizmie Affendy berkata, setelah wang berkenaan berada di tangan suspek, suspek kemudian menggunakan kemahirannya untuk mengambil sebahagian wang itu tanpa disedari mangsa, manakala sebahagian lagi dipulangkan kepada mangsa.
Beliau berkata suspek dalam serbuan pertama direman empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) bermula 23 hingga 26 Julai dan disambung 14 hari mengikut Akta Imigresen 1959/63 bermula 27 Julai hingga 9 Ogos ini.
"Suspek bagi serbuan kedua pula direman empat hari mengikut Seksyen 117 KTJ bermula 25 hingga 28 Julai dan disambung 14 hari mengikut Akta Imigresen 1959/63 bermula 29 Julai hingga 11 Ogos ini.
"Siasatan mendapati semua suspek telah berada di negara ini sejak September 2024 dan mendakwa memasuki Malaysia menerusi laluan di Bukit Kayu Hitam, namun telah kehilangan pasport," katanya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Sementara itu Sulizmie Affendy berkata lebih 50 laporan polis diterima berkaitan kes menggunakan taktik seperti itu sejak tahun lepas dan pihaknya akan terus membuat penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pelancong asing di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami