KUALA LUMPUR: Taktik licik sekumpulan wanita warga Indonesia yang memanipulasi Orang Kurang Upaya (OKU) tempatan bagi meraih simpati orang ramai untuk kegiatan mengemis di sekitar Jalan Dang Wangi dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi satu operasi, Jumaat lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata operasi yang bermula kira-kira jam 10 malam itu membawa kepada penahanan lima wanita warga Indonesia berusia antara 29 dan 56 tahun.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit mengeksploitasi individu OKU cacat penglihatan sebagai alat untuk mendapatkan sumbangan daripada orang ramai.
"Mereka akan memimpin individu OKU ke lokasi tumpuan awam, khususnya di kawasan kedai makan pada waktu malam, sambil berpura-pura sebagai pasangan suami isteri bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Orang ramai yang menghulurkan sumbangan pula akan diberikan tisu sebagai balasan bagi mewujudkan gambaran seolah-olah mereka menjalankan aktiviti jualan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Zakaria berkata, kegiatan itu dipercayai mampu menjana pendapatan antara RM100 hingga RM200 setiap malam dan telah aktif sejak Januari lalu.
Beliau berkata, semakan mendapati dua daripada wanita yang ditahan menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara sektor pembantu rumah dan Pas Lawatan Sosial, manakala seorang tinggal lebih masa serta dua lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.