KUANTAN: Daerah Lipis di Pahang kini telah diperakui sebagai Geopark Kebangsaan dan merupakan yang terbesar di negara buat masa ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
,
Beliau berkata, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah memperakui daerah tersebut sebagai Geopark Kebangsaan menerusi Mesyuarat Geopark Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausahanya, Dr Ching Thoo pada Khamis.

"Selaras dengan perakuan ini, daerah Lipis dikenali sebagai Lipis Geopark bermula 9 Nov.

"Pengiktirafan ini membuktikan pembangunan di daerah Lipis berupaya menjadi sebuah tapak mesra warisan dan alam sekitar serta seterusnya berpotensi sebagai destinasi pelancongan lestari bertaraf antarabangsa," katanya menerusi catatan di Laman Facebook rasmi beliau pada Jumaat.

Menurutnya, Lipis Geopark berkeluasan 5,198 kilometer persegi itu meliputi keseluruhan daerah Lipis dengan 28 tapak warisan geologi, 18 tapak warisan budaya dan enam tapak warisan biologi.

Antara kawasan yang diangkat sebagai tapak Geopark Kebangsaan ialah Galeri Aspirasi Lipis Geopark, Geotapak bernilai Kebangsaan (Zon Sutura Bentong-Raub,Jujukan Perms-Trias Gua Bama, dan Kuala Sungai Lipis) selain Geotapak bernilai Geopelancongan (Ketakselarasan Gua Tahi Bintang, dan Gua Sisik Naga).

Pelaksanaan Lipis Geopark ini adalah selari dengan draf perancangan Blueprint Pahang Destinasi Warisan Dunia (2024-2028) untuk menjadikan ia sebagai destinasi bertaraf dunia bagi pengiktirafan tapak berjenama UNESCO di bawah kategori Tapak Warisan Dunia (WHS), program Manusia dan Biosfera (MAB) dan UNESCO Global Geopark (UGGp).

Dalam pada itu, Wan Rosdy menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terutamanya Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) yang telah berusaha menjadikan daerah tersebut sebagai Geopark Kebangsaan.

"Saya juga berharap penglibatan yang aktif oleh komuniti tempatan dan pihak berkepentingan, menjadikan wilayah Geopark Lipis berada di landasan yang tepat bagi diangkat sebagai UNESCO Global Geopark pada tahun 2025," katanya. - BERNAMA