KOTA BHARU: Liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk di Kelantan telah mencapai kira-kira 87 peratus setakat ini, melepasi sasaran nasional 80 peratus yang ditetapkan bagi 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata pencapaian itu selaras dengan hasrat kerajaan menyediakan akses Internet berkelajuan tinggi dan mampu milik kepada rakyat serta sektor perniagaan.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan turut menyediakan peruntukan bagi memperluas infrastruktur digital termasuk RM770 juta untuk baki Point of Presence (POP) Fasa 2 berhampiran kawasan perindustrian dan sekolah terpilih di kawasan desa serta pedalaman.
“Kerajaan juga memperuntukkan RM780 juta bagi Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa Dua untuk 2,700 lokasi baharu. Kita mesti memastikan projek-projek ini benar-benar membantu kawasan memerlukan,” katanya pada Majlis Perasmian Seminar Pemerkasaan 5G dan Pameran 5G, Digital, Sains dan Teknologi Kelantan di sini hari ini.
Wan Roslan berkata kerajaan negeri akan memastikan kawasan luar bandar, pedalaman, kawasan industri, pusat pendidikan, kawasan pelancongan dan pusat pertumbuhan ekonomi turut mendapat manfaat daripada peningkatan infrastruktur digital.
Katanya, pembangunan 5G perlu mengambil kira keadaan geografi, taburan penduduk dan struktur ekonomi Kelantan bagi memastikan kemudahan itu dapat dimanfaatkan secara menyeluruh.
“Kita tidak mahu berlaku jurang antara masyarakat bandar dengan luar bandar, anak-anak di kawasan pedalaman ketinggalan dari segi pendidikan digital, usahawan kecil di daerah-daerah terlepas peluang menggunakan teknologi untuk mengembangkan perniagaan, serta kekurangan infrastruktur digital menjadi faktor yang mengehadkan pelaburan ke negeri ini,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan meletakkan agenda digital sebagai komponen penting pembangunan negara menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), dengan infrastruktur digital dan teknologi 5G menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta pendigitalan sektor awam dan swasta.
-- BERNAMA