KUALA PERLIS: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melaksanakan pemutihan senarai nelayan setiap bulan bagi mengelakkan pihak tidak sepatutnya memperoleh elaun bulanan RM300 yang dikhaskan kepada nelayan tegar di seluruh negara.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata pihaknya akan membatalkan kelayakan nelayan yang tidak berstatus tegar antaranya tidak memenuhi syarat turun ke laut 120 hari setahun.

"Memang LKIM ada buat pemutihan, syarat pertama mereka perlu aktif di bawah peraturan LKIM ini yang mana mereka perlu turun ke laut selama 120 hari setahun, kalau mereka tak aktif, ada kerja lain, maka mereka tidak layak.

"Buat masa sekarang kita belum mendapat jumlah rekod yang tepat berapa ramai nelayan yang dibatalkan kelayakan mereka tetapi (dalam anggaran) lebih daripada 1,000 orang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program MADANI Anak Nelayan Kembali ke Sekolah di sini pada Khamis.

Sementara itu, Muhammad Faiz berkata nelayan muda yang aktif di negara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 30 peratus dan pihaknya akan memberikan latihan untuk membantu mereka mengasah kemahiran memandangkan pekerjaan itu tergolong dalam 3D (kotor, berbahaya dan sukar).

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 100 anak nelayan di Perlis menerima sumbangan keperluan kelengkapan persekolahan menerusi program semalam yang dianjurkan LKIM dengan kerjasama Petronas Dagang Berhad dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).

Muhammad Faiz menyantuni 100 pelajar sekolah yang merupakan anak-anak nelayan di bawah seliaan PNK Perlis Selatan dalam 'Program Madani Anak Nelayan Kembali ke Sekolah', semalam. - Foto Facebook Muhammad Faiz

"Setiap pelajar akan menerima kupon tunai RM150 dan peralatan sekolah seperti beg sekolah, topi, botol air, buku nota serta alat tulis dengan jumlah keseluruhan bernilai RM15,000," katanya.

Beliau turut memaklumkan Perlis merupakan negeri bagi Zon Utara yang dipilih untuk program berkenaan selepas Melaka (Zon Selatan) dan akan dilaksanakan juga di Sabah, Sarawak dan Pahang selepas ini.

-- BERNAMA