KUANTAN: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan mengambil tindakan tegas terhadap persatuan nelayan yang terbabit dengan ketirisan diesel bersubsidi termasuk menutup pusat jualan bahan api.
Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan penyelewengan dan mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.
"Persatuan nelayan yang terlibat dengan penggunaan diesel bersubsidi hendaklah memahami bahan api ini adalah subsidi, bukan soal hak. Ini melibatkan peruntukan kerajaan sebagai bantuan untuk meringankan kos operasi.
"Kalau kita tidak jaga betul-betul soal prosedur operasi standard (SOP), kita akan disiasat dan didenda, dan akan mendatangkan kerugian kepada persatuan nelayan sendiri," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Pahang 2026 di Pantai Sepat.
Muhammad Faiz berkata justeru, persatuan nelayan yang mengurus penjualan diesel perlu mematuhi sepenuhnya SOP ditetapkan bagi memastikan subsidi tidak disalahgunakan dan memberikan manfaat kepada golongan nelayan yang layak.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Besar, Selangor yang didenda RM320,000 baru-baru ini oleh Mahkamah Sesyen Kuala Selangor selepas menyeleweng diesel bersubsidi untuk nelayan, dua tahun lepas.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan mempertingkatkan persiapan bagi memastikan bekalan ikan negara mencukupi sepanjang musim tengkujuh dalam menghadapi kemungkinan gangguan operasi penangkapan ikan di Pantai Timur akibat keadaan ombak dan cuaca buruk.
"Nelayan di Pantai Timur masih boleh turun ke laut jika keadaan ombak tidak terlalu kuat, terutama mereka yang berada di zon lebih dalam seperti Zon B, C dan C2, manakala operasi di kawasan pesisir pantai lebih terjejas," katanya.
Beliau berkata bekalan ikan negara juga disokong oleh sumber dari Pantai Barat dan kawasan utara Semenanjung selain mendapat kerjasama daripada pemain swasta bagi memastikan stok ikan yang disimpan dapat dikeluarkan kepada pasaran ketika musim tengkujuh, termasuk ikan yang diimport.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata nelayan digalakkan menceburi bidang akuakultur termasuk ternakan ikan dalam tangki pada skala kecil sebagai sumber pendapatan alternatif ketika tidak dapat turun ke laut memandangkan bidang akuakultur kini boleh dilaksanakan dengan kos lebih rendah.\
Kerajaan turut menyediakan bantuan sara hidup sebanyak RM300 sebulan kepada nelayan bagi membantu meringankan beban mereka, katanya.
-- BERNAMA