Loji pengurusan sisa buangan di Kuching terbakar

Kebakaran dipercayai berpunca dari luar kawasan loji sebelum merebak ke bahagian dalam bangunan. - JBPM Sarawak
KUCHING: Sebuah loji pengurusan sisa buangan di Jalan Mambong, di sini terbakar hampir 95 peratus petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menerima panggilan kebakaran pada 2.28 petang dan kejadian melibatkan loji berkeluasan kira-kira 150 x 200 kaki.
"Kebakaran dipercayai berpunca dari luar kawasan loji sebelum merebak ke bahagian dalam bangunan.
"Komander operasi mengesahkan kehadiran tiga bahan kimia berisiko tinggi di lokasi kejadian, iaitu asid nitrik, asid propionik dan ammonium sulfat yang memerlukan kawalan keselamatan ketat sepanjang operasi.
"Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) telah digerakkan bagi memberikan bantuan kepakaran khusus," menurut kenyataan itu.
PGO memaklumkan pemantauan turut dijalankan dari udara dengan menggunakan dron bagi menilai tahap kebakaran serta membantu perancangan taktikal di lapangan.
"Setakat 6.40 petang, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya dan kerja pemeriksaan lanjut masih diteruskan bagi memastikan tiada bahaya susulan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


