KLANG: Sebuah lori tangki yang sedang mengisi minyak dalam keadaan mencurigakan di stesen minyak di Pelabuhan Klang di sini membongkar kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi, pada Rabu lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, operasi Ops Lipan kira-kira jam 11 pagi oleh sepasukan anggota KPDNHEP Selangor bertindak hasil aduan yang diterima pihaknya.

Katanya, operasi terbabit telah mengesan sebuah lori tangki yang sedang mengisi bahan api jenis diesel ke dalam tangki simpanan lori itu.

"Anggota operasi kemudian bertindak menahan pemandu lori terbabit iaitu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an yang mengaku bertanggungjawab ke atas lori itu.

"KPDNHEP telah bertindak menyita lori, diesel, resit belian yang dianggar bernilai RM8,500 untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, selain itu, KPDNHEP turut menyiasat premis stesen minyak terbabit dan telah merekod keterangan pengurus stesen terbabit.

Jelas Muhamad Zikril, kes disiasat di bawah Peraturan 18 dan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sama ada stesen minyak terbabit terlibat bersubahat dengan kegiatan itu," ujarnya.

Tegasnya, inisiatif di bawah Ops Lipan ini memfokuskan kepada pemantauan khusus di stesen minyak di sekitar Selangor dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung salah laku peniaga yang tidak beretika khususnya melibatkan perlakuan barangan bersubsidi boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi.


*Berita asal di Sinar Harian