Skip to main content

Malaysia

Sistem utama, perkhidmatan kesihatan KKM tidak terjejas akibat insiden keselamatan siber

KKM menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Sabtu memaklumkan orang ramai boleh meneruskan janji temu kesihatan dan rawatan di fasiliti KKM tanpa sebarang kerisauan.
KKM menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Sabtu memaklumkan orang ramai boleh meneruskan janji temu kesihatan dan rawatan di fasiliti KKM tanpa sebarang kerisauan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Semua sistem operasi utama serta perkhidmatan kesihatan dan rawatan pesakit Kementerian Kesihatan (KKM) tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa susulan insiden keselamatan siber yang dikesan pada Khamis lepas.

KKM menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Sabtu memaklumkan orang ramai boleh meneruskan janji temu kesihatan dan rawatan di fasiliti KKM tanpa sebarang kerisauan.

Menurut KKM, insiden itu terhad kepada akses tanpa kebenaran ke atas satu platform storan dan perkongsian fail sokongan di sebuah fasiliti kementerian berkenaan.

Advertisement

“Siasatan awal Pasukan Tindak Balas Insiden Keselamatan Komputer (CSIRT) KKM mendapati insiden ini tidak melibatkan penyulitan sistem (encryption) terhadap pangkalan data utama kementerian,” menurut kenyataan itu.

KKM menyebut capaian awam terhadap platform berkenaan telah disekat sebagai langkah pembendungan serta-merta.

Advertisement

Kementerian itu turut menguatkuasakan kawalan keselamatan tambahan di fasiliti terlibat merangkumi penetapan semula kata laluan pengguna, pengauditan pelayan serta penguatkuasaan Pengesahan Pelbagai Faktor (MFA).

Selaras dengan keperluan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854), KKM akan terus bekerjasama rapat dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dalam menangani insiden itu serta melaksanakan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan siber sentiasa terpelihara.

Dalam pada itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi.

“KKM memberi amaran tegas bahawa memuat turun, memiliki atau menyebarkan dokumen rasmi kerajaan yang diperoleh secara tidak sah adalah satu kesalahan serius yang tertakluk kepada tindakan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut menegaskan komitmen untuk memastikan keselamatan infrastruktur teknologi maklumat dan kerahsiaan data kesihatan rakyat sentiasa terpelihara pada tahap tertinggi.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement