MELAKA: Barisan Nasional (BN) menyifatkan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 sebagai permulaan kepada tanggungjawab lebih besar untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus dibela.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, mandat yang diberikan rakyat perlu diterjemahkan melalui pentadbiran berkesan, pembangunan inklusif serta perkhidmatan terbaik tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang politik.
Beliau menjelaskan, kemenangan itu diterima dengan penuh kesyukuran dan rendah hati, sambil menegaskan kepercayaan rakyat bukan sekadar pencapaian politik, sebaliknya amanah yang perlu dilaksanakan.
“Kepercayaan rakyat mesti diterjemahkan melalui pentadbiran berkesan, pembangunan inklusif dan pembelaan berterusan terhadap kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setakat keputusan tidak rasmi, BN memperoleh 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi.
Zambry turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Melaka yang menunaikan tanggungjawab demokrasi, khususnya pengundi yang memberikan sokongan dan kepercayaan kepada calon gabungan itu.
Beliau berkata, kelancaran PRN Melaka yang berlangsung dalam suasana aman, tertib dan matang mencerminkan kematangan rakyat negeri itu dalam menentukan hala tuju kepimpinan.
Zambry turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas kepimpinan dan komitmen memperkukuh gabungan itu.
"Penghargaan sama diberikan kepada Presiden serta kepimpinan parti komponen BN, iaitu UMNO, MCA, MIC, PBRS dan PPP, Friends of BN (FoBN) serta rakan strategik atas semangat kebersamaan sepanjang pilihan raya," katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ab Rauf Yusoh atas kepimpinan menerajui BN negeri serta keupayaan menyatukan kekuatan parti dan menggembleng jentera pilihan raya.
Dalam pada itu, BN menghargai semangat kebersamaan dan kerjasama yang terjalin dengan PN sepanjang PRN kali ini.
Ujarnya lagi, semua calon yang diberikan mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu melaksanakan amanah rakyat dengan khidmat, bukan sekadar janji.
“Dengarlah suara rakyat, fahamilah keresahan mereka dan berikanlah perkhidmatan terbaik tanpa mengira kaum, agama mahupun kecenderungan politik,” jelasnya.
Selain itu, Zambry berkata, BN akan terus memperjuangkan politik kesederhanaan, memperkukuh perpaduan dan menjadikan kestabilan sebagai asas kemajuan.