KUANTAN: Seorang pemandu lori muatan surat khabar berhadapan detik cemas selepas kenderaan dipandunya teperangkap dalam kejadian jambatan runtuh di Jalan Bentong-Raub Lama berhadapan sebuah tokong Cina dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Kama Azural Mohamed berkata kejadian pada kira-kira pukul 3 pagi itu mengakibatkan pemandu lori Chia Kein Bong, 30, mengalami kecederaan ringan, dan dia telah dibawa ke hospital Bentong untuk rawatan.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku berikutan hujan lebat di kawasan berkenaan sekitar 11.30 malam semalam sehingga awal pagi.

"Susulan insiden berkenaan, laluan di kedua-dua arah telah ditutup dan tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Raub menerusi catatan di Facebook memaklumkan laluan berkenaan ditutup bermula hari ini sehingga diberitahu kelak.

Justeru pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi papan tanda arahan disediakan, dan jalan alternatif yang boleh digunakan adalah laluan utama Persekutuan FT008,Bentong-Raub dan FT34,Central Spine Road.

-- BERNAMA