KUCHING:Sarawak kini mempunyai gas petroleum cecair (LPG) jenama Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Jenama Petros LPG itu merupakan lambang permulaan kepada usaha kerajaan negeri untuk mengukuhkan posisinya dalam industri minyak dan gas.

Sebagai permulaan, Petros LPG itu akan diedarkan kepada kegunaan isi rumah, perniagaan dan perindustrian di Kuching serta Samarahan bermula tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika melancarkan LPG Petros itu berkata, satu tong LPG Petros 14 kilogram dijual pada harga RM26.60

"Kita memberikan hampir 50 peratus subsidi kepada Petros LPG memandangkan harga sebenar sekitar RM50 satu tong. Malah, LPG Petros juga tersenarai dalam produk kawalan harga oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)," katanya pada majlis pelancaran Petros LPG di Kubah Ria pada Rabu.

Melihat kepada perkembangan itu, Abang Johari memberitahu ini merupakan visi dan alasan kenapa beliau membangunkan Petros dua tahun lalu.

"Setakat ini, kita telah mempunyai beberapa kegiatan yang mana Petros terlibat atau mengambil bahagian dalam industri minyak dan gas negeri," katanya.