Skip to main content
Advertisement

Malaysia

LPPKN lancar modul baharu perkasa pengamal perubatan primer tangani isu kesuburan - Nancy

PUTRAJAYA, 29 Sept - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Simposium Kesihatan Reproduktif Kebangsaan 2026 di sebuah hotel, hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Nancy bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Simposium Kesihatan Reproduktif Kebangsaan 2026 di sebuah hotel, hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama syarikat sains dan teknologi, MERCK Malaysia, hari ini melancarkan modul komprehensif bagi memperkasakan pengamal perubatan kesihatan primer dalam mengendalikan isu kesuburan dan subfertiliti di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata Modul Kaunseling Ketidaksuburan untuk Penjagaan Primer itu dibangunkan bagi merapatkan jurang perkhidmatan sedia ada, dengan melengkapkan pengamal perubatan bukan sahaja dari sudut rawatan klinikal malah kemahiran kaunseling dan sokongan emosi kepada pasangan yang sukar hamil.

Beliau berkata inisiatif berkenaan dihasilkan dengan mengambil kira input daripada pakar merentas sektor bagi memastikan instrumen rujukan awal di peringkat penjagaan kesihatan primer dapat dijalankan secara lebih berkesan.

"Pakar dalam bidang masing-masing telah berkumpul, namun kepakaran klinikal itu sendiri masih belum mencukupi sekiranya tidak disertakan dengan kemahiran menangani pesakit dari segi emosi. Ramai pasangan berdepan tekanan emosi dan kemurungan, dan aspek kaunseling inilah yang perlu diperkukuhkan dalam modul berkenaan.

"Melalui modul ini, rujukan antara satu sama lain termasuk sektor swasta dan korporat dapat dipermudahkan supaya pesakit mendapat akses rawatan, intervensi awal serta ubat-ubatan yang bersesuaian," katanya selepas merasmikan Simposium Kesihatan Reproduktif Kebangsaan 2026 di sini hari ini.

Pada masa sama, Nancy menegaskan kesedaran mengenai isu kesuburan perlu diperluas kepada seluruh masyarakat dan tidak diletakkan pada bahu wanita semata-mata.

Beliau berkata kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melibatkan 8,500 pasangan mendapati faktor lelaki menyumbang sepenuhnya atau sebahagiannya kepada 45.1 peratus kes infertiliti, manakala data subfertiliti LPPKN pula menunjukkan 60 peratus keputusan analisis air mani bagi tempoh 2010 hingga 2019 adalah tidak normal.

Sehubungan itu, Nancy menyeru pasangan mendapatkan penilaian dan rawatan kesuburan lebih awal kerana pada masa kini 44.2 peratus pasangan hanya mendapatkan rawatan selepas menunggu lebih daripada lima tahun untuk hamil.

"Sering kali masyarakat menganggap isu ketidaksuburan hanya berpunca daripada wanita, sedangkan kaum lelaki juga perlu mempunyai kesedaran dan terbuka menerima sekiranya mempunyai kekurangan dari segi kesuburan," katanya.

Menyentuh mengenai inisiatif bantuan kesuburan dalam Belanjawan 2027, Nancy berkata peruntukan bantuan rawatan kesuburan seperti persenyawaan beradas (IUI) telah pun diserapkan secara tahunan dalam peruntukan sedia ada kementerian melalui LPPKN.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement