Skip to main content

Malaysia

LRT3: Sesak sedikit namun pengunjung faham, sifatkan ia normal

LRT3 Orang Ramai -- AWANI
Aswinee Devy Pannirselvam (kiri, atas), Mohamad Shahril Mat Jusoh (kanan, atas), Tan Huan Sin (kiri, bawah), Ibrahim Mohamed (kanan, bawah). - Foto Astro AWANI
Advertisement

SHAH ALAM: Minggu pertama operasi Laluan Transit Aliran Ringan Tiga (LRT3) yang menghubungkan Bandar Utama, Petaling Jaya dengan Johan Setia, Klang menerima sambutan menggalakkan apabila orang ramai mengambil peluang mencuba sendiri perkhidmatan pengangkutan awam baharu itu.

Tinjauan Astro AWANI di beberapa stesen utama di sepanjang laluan berkenaan mendapati peningkatan jumlah penumpang menyebabkan kesesakan di beberapa lokasi, khususnya pada waktu puncak.

Namun, rata-rata pengguna menyifatkan situasi itu sebagai sesuatu yang dijangka berikutan ramai ingin merasai pengalaman menaiki LRT3 pada minggu pertama operasinya.

Seorang pengguna dari Johan Setia, Klang, Ibrahim Mohamed, 42, berkata, beliau membawa anak-anak menaiki LRT3 semata-mata untuk menikmati pengalaman baharu.

"Kami dari Johan Setia. Pengalaman paling menyeronokkan apabila dapat bawa anak-anak berjalan. Mereka gembira sebab pertama kali dapat naik LRT dan pusing sekitar Kuala Lumpur. Memang mereka sangat teruja," katanya.

Ujar Ibrahim, pengurusan pihak stesen juga membantu melancarkan pergerakan walaupun jumlah pengguna meningkat.

"Waktu naik, pihak stesen sudah beri peringatan dan maklumat kepada penumpang. Jadi kami lebih bersedia dan tidak tergesa-gesa."

Dalam pada itu, seorang lagi penumpang pula, Tan Huan Sin, 43, berpandangan LRT3 sebagai alternatif lebih pantas berbanding memandu, terutama bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

"Kalau waktu puncak memang jalan sangat sesak. Jadi lebih cepat naik LRT untuk ke Subang atau Damansara.

"Tak sesak sangat. Mungkin sebab saya naik pada waktu yang bukan waktu puncak dan sekarang pun cuti sekolah," ujarnya.

Sementara itu, pelajar Management and Science University (MSU), Aswinee Devy Pannirselvam, 23, mengakui teruja untuk mencuba LRT3 selepas melihat pelbagai perkongsian mengenainya di media sosial.

Katanya, laluan baharu itu memudahkan pergerakan pelajar kerana stesen berdekatan kampus dan boleh diakses dengan hanya berjalan kaki.

"Biasanya kalau nak ke Glenmarie kami akan naik Grab. Sekarang lebih mudah sebab stesen LRT dekat dengan MSU, hanya perlu berjalan kaki. Tambahan pula sekarang perkhidmatan masih percuma.

"Ramai kawan saya memuat naik pengalaman mereka di media sosial. Nampak semuanya lancar, bersih dan selesa, jadi saya pun teruja hendak mencubanya."

Beliau berkata, LRT3 dijangka menjadi pilihan utama untuk ke kampus atau destinasi lain kerana bukan sahaja lebih menjimatkan masa, malah dapat mengelakkan kesesakan jalan raya, terutama pada waktu puncak.

"Kalau nak cepat dan elakkan kesesakan, memang lebih baik guna tren. Bagi yang tidak suka keadaan sesak pada waktu puncak, boleh pilih waktu perjalanan di luar waktu puncak kerana ketika itu penumpang tidak terlalu ramai," jelasnya.

Bagi Kapten Van RapidKL, Mohamad Shahril Mat Jusoh, kesesakan yang berlaku ketika ini tidak menggambarkan keadaan sebenar operasi LRT3. 

"Sekarang memang luar biasa sebab ramai yang mahu mencuba. Mungkin keadaan akan kembali normal apabila perkhidmatan berbayar bermula nanti," jelasnya.

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa gambar yang memaparkan keadaan sesak di dalam tren LRT3 sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

 

Must Watch Video

Advertisement