Skip to main content

Malaysia

LTAT bukti kemampuan, agih dividen lebih baik di sebalik cabaran ekonomi global - Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 12 Mac -- Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap kepada media selepas Majlis Pengumuman Dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi Tahun Kewangan 2025 hari ini.  LTAT isytihar dividen 5.35 peratus, RM524.74 juta bagi tahun kewangan 2025, tertinggi dalam tempoh lapan tahun.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap kepada media selepas Majlis Pengumuman Dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi Tahun Kewangan 2025 hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) membuktikan keupayaannya untuk memberikan pulangan dividen yang lebih baik bagi tahun kewangan 2025 meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

​Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata prestasi itu satu pencapaian yang membanggakan memandangkan situasi ekonomi dunia yang mencabar sepanjang tahun lepas.

Advertisement

​"Saya mengucapkan tahniah kepada LTAT, dalam keadaan pergolakan global yang menjejaskan ekonomi tahun lepas, ia masih dapat mencapai pelbagai pencapaian yang baik.

"Pencapaian ini memungkinkan LTAT untuk mengumumkan dividen pada kadar yang lebih baik daripada tahun sebelumnya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2025, di sini hari ini.

​Mohamed Khaled berkata kementerian akan terus memantau prestasi LTAT bagi memastikan dana simpanan anggota tentera diuruskan dengan sebaik mungkin.

"Saya percaya LTAT berada pada landasan betul untuk mengurus dana simpanan anggota tentera yang pada akhirnya boleh membawa pulangan yang baik kepada ahli," katanya.

LTAT hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.35 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025, iaitu jumlah agihan tertinggi direkodkan dalam tempoh lapan tahun.

​Agihan keseluruhan berjumlah RM524.74 juta itu bakal memanfaatkan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sekali gus mengukuhkan komitmen LTAT dalam memastikan kesejahteraan kewangan jangka panjang para pencarum.  

​-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video