LTSIP kendali 1.3 juta penumpang dalam tempoh sembilan bulan

LTSIP kini bukan sekadar pintu masuk negeri Cik Siti Wan Kembang tetapi juga menjadi nadi penting pertumbuhan ekonomi dan pelancongan di Pantai Timur, kata Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd, Mohd Izani Ghani. - Gambar fail Bernama
KOTA BHARU: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini mengendalikan sejumlah 1.3 juta penumpang dalam tempoh sembilan bulan sejak Januari lepas.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 122.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
"Peningkatan jumlah penumpang menunjukkan pertumbuhan luar biasa dalam permintaan perjalanan udara ke Kota Bharu.
"LTSIP kini bukan sekadar pintu masuk negeri Cik Siti Wan Kembang tetapi juga menjadi nadi penting pertumbuhan ekonomi dan pelancongan di Pantai Timur," katanya.
Mohd Izani berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pemerkasaan dan Pemuliharaan Rebana Ubi dan Majlis Sambutan Penerbangan Sulung Scoot di LTSIP, malam tadi.
Mengulas penerbangan sulung tersebut, beliau berkata, penerbangan terus dari Singapura itu membawa 50 penumpang dan akan diteruskan dengan kekerapan dua kali seminggu iaitu Jumaat dan Ahad dengan tempoh perjalanan satu jam 15 minit.
Mohd Izani berkata, pihaknya mengalu-alukan penerbangan antarabangsa ke Kota Bharu, sekali gus menjadi usaha mempromosikan negeri kepada pelancong.
"Kita lihat perjalanan ini mendapat sambutan. Dengan adanya kemudahan baharu lapangan terbang ini, kita yakin mampu menampung peningkatan kedatangan pelancong.
"Sekiranya perjalanan Singapura-Kota Bharu mendapat sambutan baik, laluan Kota Bharu-Bangkok (Thailand) atau Kota Bharu-Jakarta (Indonesia) boleh dipertimbangkan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga berharap dapat menjalin kolaborasi dengan pelbagai agensi berkaitan untuk merancakkan sektor pelancongan khususnya di Kelantan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


