INSTITUT Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia yang mengundi dalam pilihan raya enam negeri kerana menggunakan hak demokrasi mereka untuk memilih wakil rakyat dalam pilihan raya yang secara amnya adil, bersih dan aman. Kami juga mengucapkan tahniah kepada semua gabungan yang telah memenangi mandat rakyat untuk mentadbir negeri masing-masing untuk lima tahun akan datang.

“Kami menggesa semua pihak untuk kembali menumpukan kepada urusan pemerintahan. Kami meminta semua parti politik kini perlu memberi tumpuan kepada pembaharuan institusi, penggubalan dasar dan tadbir urus yang baik. Kedua-dua kerajaan dan pembangkang di peringkat persekutuan dan negeri memainkan peranan penting dalam memastikan tadbir urus dan pentadbiran yang betul bagi Malaysia dan negeri masing-masing. Paling penting, perlu ada kompromi, kerjasama dan sinergi antara kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam pembentukan dan pelaksanaan dasar. Langkah ke hadapan untuk persekutuan Malaysia yang sebenar adalah untuk semua negeri menerima bahagian peruntukan dan sumber mereka yang saksama, tanpa mengira gabungan yang mentadbir negeri,” ulas Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.

Kini terdapat persaingan pilihan raya yang lebih besar dalam politik Malaysia, sesuatu yang positif dalam sebuah demokrasi yang sihat. Analisis awal keputusan pilihan raya menunjukkan bahawa walaupun terdapat beberapa kawasan di mana sesetengah parti boleh menyatakan kemenangan, keputusan keseluruhan menunjukkan bahawa tiada parti yang boleh berpuas hati. Pengundi kini lebih bersedia untuk memindahkan undi mereka kepada parti lain jika parti pilihan mereka gagal melaksanakan tugas yang diberikan. Dominasi parti tunggal kini hanya tinggal sejarah.

Bagaimanapun, kami mengambil maklum dan merasa bimbang bahawa tiada blok pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu. Bagi memastikan semak dan imbang, kami mengalu-alukan saranan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar untuk melaksanakan sistem backbenchers (wakil rakyat bukan eksekutif), di mana backbenchers perlu lebih bersiap-sedia dalam pengawasan mereka bagi memastikan kerajaan negeri bertanggungjawab.

Kami juga mengesyorkan agar Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dibentuk dan diinstitusikan di peringkat DUN di semua negeri. JPKP menambah satu lagi lapisan semak dan imbang, dan boleh menjadi platform untuk organisasi masyarakat sivil (CSO) dan pakar untuk memberikan input. Ini merupakan masa yang baik untuk kerajaan negeri menunjukkan kepimpinan dalam tadbir urus yang baik.

“Memandangkan sifat semasa politik Malaysia yang cair dan dinamik, semua parti politik harus melaksanakan reformasi institusi untuk meminimumkan kelebihan penyandang. Tanpa mengambil kira mana-mana parti politik atau gabungan yang membentuk kerajaan, wakil pembangkang harus dilayan secara saksama sebagaimana wakil kerajaan. IDEAS menggesa semua parti politik untuk komited dalam usaha meluluskan Akta Pendanaan Politik (PFA) bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pendanaan politik. Kami juga ingin melihat penggubalan Akta Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDFA) di peringkat negeri bagi memastikan pengagihan CDF yang telus dan saksama kepada semua pihak. Selain itu, kerajaan negeri juga harus komited kepada proses belanjawan yang lebih telus,” tambah Yeoh.

Keperluan yang lebih besar adalah untuk merapatkan jurang yang semakin meningkat antara kaum, agama, wilayah, kelas sosial, latar belakang ekonomi dan kepercayaan yang berbeza di Malaysia. Mengambil tindakan konkrit dalam hal ini adalah mencabar dan kompleks, tetapi mesti dilakukan oleh semua rakyat Malaysia. IDEAS tetap bersedia semampu boleh untuk menyumbang dalam apa jua cara.



Kenyataan media ini dikeluarkan:
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)