KUALA LUMPUR: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diangkat sebagai sebahagian daripada naratif nasional dan tidak lagi dilihat semata-mata sebagai isu melibatkan Sabah, Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, penegasan Perdana Menteri di Sabah hari ini mengenai perkara itu wajar disambut baik.
Ini kerana ia membuka ruang lebih luas bukan sahaja untuk membicarakan hak Sabah dan Sarawak, malah menilai semula kefahaman mengenai sejarah, asas pembentukan serta makna Malaysia itu sendiri.
“Seruan ini bukan sekadar membuka ruang lebih luas untuk membicarakan hak Sabah dan Sarawak, tetapi mengajak kita menilai kembali kefahaman tentang sejarah, asas pembentukan dan makna Malaysia itu sendiri,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebooknya hari ini
Menurut Muhammad Kamil, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas lebih enam dekad pembentukan Malaysia, wacana kebangsaan masih banyak berlegar dari sudut pandang Semenanjung.
Katanya, persoalan mengenai MA63, kedudukan Sabah dan Sarawak, tuntutan pembangunan serta hubungan dengan Kerajaan Persekutuan juga sering dibicarakan seolah-olah ia hanya persoalan wilayah yang perlu diselesaikan antara Kota Kinabalu, Kuching dan Putrajaya.
Sedangkan, katanya, sejarah pembentukan Malaysia tidak pernah meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai catatan sampingan kepada sebuah negara yang telah sempurna terbentuk.
“Malaysia lahir daripada keberanian untuk membina sebuah persekutuan yang besar cita-citanya; merentasi laut dan wilayah, menghimpunkan masyarakat dengan latar budaya, agama dan sejarah yang berbeza, namun bersedia berkongsi masa depan dalam sebuah negara,” katanya.
Pengalaman Sabah, Sarawak adalah pengalaman Malaysia
Muhammad Kamil menambah, menjadikan MA63 sebahagian daripada naratif nasional juga tidak memadai dengan hanya memastikan masyarakat di Semenanjung memahami tuntutan Sabah dan Sarawak.
Sebaliknya, rakyat perlu memahami pengalaman antara satu sama lain sebagai pengalaman bersama Malaysia, termasuk cabaran kemiskinan dan pendidikan yang masih dihadapi sesetengah komuniti.
“Kemiskinan di pedalaman Sabah bukan masalah orang Sabah semata-mata, sebagaimana keciciran pendidikan di Sarawak tidak boleh dianggap persoalan yang jauh daripada kehidupan seorang anak muda di Selangor, Kedah atau Kelantan.
“Inilah makna sebuah persekutuan. Laut China Selatan tidak seharusnya menjadi garis yang memisahkan rasa keadilan, tanggungjawab dan kepunyaan kita terhadap sesama rakyat Malaysia,” katanya.
Menjelang sambutan Hari Malaysia, Muhammad Kamil berkata, rakyat juga perlu jujur menilai sejauh mana perjalanan negara telah disempurnakan selepas lebih enam dekad pembentukan Malaysia.
Beliau mengakui banyak kemajuan telah dicapai, manakala pelbagai perkara berkaitan MA63 telah diselesaikan atau dikembalikan melalui proses rundingan.
Namun, menurutnya, pembinaan sebuah negara tidak pernah selesai hanya menerusi penyelesaian peruntukan Perlembagaan atau pembahagian kuasa.
“Ia turut menuntut rasa kepunyaan, kesaksamaan peluang, penghormatan terhadap kepelbagaian serta keyakinan bahawa seorang anak yang lahir di Tawau, Kapit, Kangar atau Kuala Lumpur mempunyai saham yang sama terhadap masa depan negara ini,” katanya.
Jelas beliau lagi, penghormatan terbaik kepada generasi terdahulu yang membentuk Malaysia pada 1963 bukan sekadar bernostalgia mengenang keberanian mereka setiap kali menjelang 16 September, sebaliknya meneruskan usaha yang telah dimulakan.
“Kita memerlukan keberanian untuk memperbaharui persefahaman kebangsaan, memperkukuh federalisme, merapatkan jurang pembangunan dan, yang lebih penting, membina kesedaran bahawa Malaysia tidak mungkin difahami hanya dari Kuala Lumpur,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap generasi muda khususnya dapat memikirkan dengan lebih serius hala tuju Malaysia untuk tempoh 30 hingga 50 tahun akan datang selepas 63 tahun perjalanan bersama.