MELAKA: Gara-gara terpedaya dengan penipuan sindiket Macau Scam kononnya terbabit dengan penjualan vaksin COVID-19 secara haram, seorang pesara kerajaan mengalami kerugian RM60,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa sebelum ini menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mendakwa dari Mahkamah Sivil Labuan.

Katanya, suspek lelaki itu mendakwa mangsa terbabit dengan kes penjualan vaksin berkenaan.

“Mangsa pada mulanya menafikan terbabit dengan kes menjual vaksin COVID-19 di Labuan. Dia kemudian disambungkan dengan seorang suspek wanita yang mendakwa diri sebagai ‘Sarjan Farah Ajis’ dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan.

“Mangsa kemudian diminta untuk memasukkan wang simpanan kepada suspek untuk tujuan siasatan dan tanpa berasa curiga, dia kemudian membuat pindahan wang berjumlah RM60,000 ke akaun Maybank diberikan suspek antara 2 hingga 3 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut ujarnya, selepas membuat transaksi berkenaan, mangsa kemudian menceritakan kepada rakan-rakannya sebelum diberitahu dia sudah tertipu.

Beliau berkata, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis pada Khamis dan kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis menasihati masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dan orang ramai boleh menyemak melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi Check Scammers CCID supaya dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” tambahnya.