Skip to main content

Malaysia

MAEPS bersedia untuk penganjuran MAHA 2026

SERDANG, 4 Ogos -- Ketua Sekretariat MAHA 2026 merangkap Setiausaha Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Dr Mohd Haniff Hassan ketika ditemu bual Bernama mengenai penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.  MAHA 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September ini akan memanfaatkan kawasan seluas 320 ekar menerusi pameran dalam dan luar dewan bagi memberi pengalaman menyeluruh kepada pengunjung sert
Mohd Haniff berkata MAHA 2026 dijangka menerima sambutan meriah kerana berlangsung semasa cuti sekolah dengan pihaknya menyasarkan kehadiran kira-kira empat juta pengunjung. - Gambar Bernama
Advertisement

SERDANG: Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini bersedia menjadi lokasi penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 melibatkan kawasan seluas 129.5 hektar dimanfaatkan dengan pameran rantaian sektor agromakanan bagi memberikan pengalaman menyeluruh kepada pengunjung.

Ketua Sekretariat MAHA 2026 yang juga Setiausaha Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Dr Mohd Haniff Hassan berkata sejak 2006, MAEPS menjadi lokasi penganjuran MAHA berikutan kemudahan infrastruktur serta kedudukan yang strategik.

“Kedudukan MAEPS bersebelahan Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan berhampiran Putrajaya memberikan kelebihan logistik, pendidikan serta penyelidikan berkaitan pertanian.

“Selain itu, MAEPS yang berada di pinggir Kuala Lumpur juga  kurang sesak dan boleh dikunjungi pada bila-bila masa,” katanya kepada Bernama.

Mohd Haniff berkata MAHA 2026 dari 28 Ogos hingga 6 Sept dijangka menerima sambutan meriah kerana berlangsung semasa cuti sekolah dengan pihaknya menyasarkan kehadiran kira-kira empat juta pengunjung.

Beliau berkata penggunaan MAEPS pada edisi tahun ini dioptimumkan sepenuhnya melibatkan ruang dalam dewan dan kawasan luar bagi mempamerkan keseluruhan rantaian nilai sektor pertanian dan agromakanan.

Beliau berkata Dewan A akan menempatkan pameran dalam dan luar negara, sesi padanan perniagaan, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) serta program Malaysia Go Global yang melibatkan pengeksport dan pembeli antarabangsa.

“Di Dewan C kita akan menampilkan mekanisasi, jentera, robotik dan sebagainya manakala Dewan D menempatkan pelbagai kandungan berkaitan pertanian serta agromakanan,” katanya.

Mohd Haniff berkata kawasan luar MAEPS akan menampilkan tarikan seperti Laman Padi, Laman Nanas, pasar terapung, zoo haiwan jinak (petting zoo), mini agro safari serta pavilion negeri yang mempamerkan produk dan aktiviti usahawan tempatan.

Selain itu, beliau berkata MAHA 2026 turut menekankan teknologi pertanian terkini termasuk penggunaan dron, kecerdasan buatan (AI), robotik dan mekanisasi bagi meningkatkan nilai tambah sektor agromakanan negara.

Bertemakan “Penciptaan Nilai untuk Keterjaminan Makanan”, Mohd Haniff berkata acara dwitahunan itu memberikan fokus kepada perkongsian maklumat berkaitan teknologi pertanian berasaskan data, inovasi serta keusahawanan.

Berhubung aspek keselesaan pengunjung, beliau berkata pelbagai persediaan dibuat termasuk meningkatkan kawalan trafik dan keselamatan serta menyediakan perkhidmatan tram, pengangkutan awam dan kemudahan e-hailing.

“Di MAEPS, terdapat lebih 5,000 petak parkir percuma namun pengunjung digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan terutama pada hari puncak,” katanya.

Beliau berkata MAHA 2026 turut menyediakan pelbagai aktiviti berbentuk pendidikan dan hiburan seperti Rhythm of the Farmers, Magical World serta pertunjukan dron dan bunga api pada 30 Ogos sebagai tarikan utama.

“Jadi selain datang berhibur, kita juga memperoleh pendedahan berkaitan pertanian dan masa depan bidang ini serta agromakanan negara,” katanya.

Beliau berkata persiapan MAHA 2026 turut diperkukuh menerusi program Road to MAHA yang berperanan sebagai platform mendekatkan masyarakat dengan sektor agromakanan sebelum ekspo berlangsung.

MAHA 2026 dijangka menghimpunkan teknologi pertanian moden, inovasi, peluang pelaburan dan kerjasama industri dengan sasaran nilai potensi pelaburan RM8 bilion serta jualan langsung RM58 juta.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement