Skip to main content

Malaysia

MAHA 2026: MARDI perkukuh pemindahan teknologi, catat RM6.27 juta nilai kerjasama

MAHA2026 -- MARDI
Sebanyak sembilan MOU dan MOA dijalinkan, dengan lapan daripadanya melibatkan nilai keseluruhan RM6.27 juta, manakala satu lagi merupakan kerjasama tanpa nilai kewangan. - Gambar MARDI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penyertaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam Pameran Pertanian, Hortikultur & Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 bukan sekadar mengetengahkan hasil penyelidikan dan inovasi, malah menjadi platform strategik untuk memperluas pemindahan teknologi, mendekatkan ilmu kepada masyarakat serta memperkukuh jaringan kerjasama dengan industri.

Dalam satu kenyataan, MARDI menjelaskan, sepanjang penganjuran MAHA 2026, segmen dan ruang pameran di bawah agensi itu merekodkan 73,656 pengunjung dengan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM241,391.

"Sebanyak sembilan Memorandum Persefahaman (MOU) dan Memorandum Perjanjian (MOA) turut dijalinkan, dengan lapan daripadanya melibatkan nilai keseluruhan RM6.27 juta, manakala satu lagi merupakan kerjasama tanpa nilai kewangan.

"Antara tumpuan utama ialah Laman Agrofood Sayuran, Herba dan Kelulut yang menjadi ruang interaktif pemindahan ilmu dan teknologi. Pengunjung berpeluang melihat aplikasi teknologi pertanian secara langsung menerusi Laman Sayuran, House of Cili, Laman Herba dan Laman Kelulut, selain mendapatkan penerangan serta khidmat nasihat daripada penyelidik MARDI.

"Pengisian ini turut diperkukuh dengan Plot Tanaman Bawang Merah dan Plot Tanaman Jagung Bijian yang memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri perkembangan tanaman serta teknologi dan amalan pengeluaran yang berpotensi menyokong pengeluaran makanan tempatan," jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan, MARDI turut mengadakan pelbagai sesi perkongsian, demonstrasi teknologi dan aktiviti interaktif meliputi pengurusan penyakit tanaman, teknologi tanaman makanan, varieti baharu, pengeluaran sayuran, jagung bijian, bawang, herba serta teknologi baja pelepasan terkawal (CRF).

"Demonstrasi penyediaan makanan dan produk berasaskan hasil pertanian pula memperlihatkan potensi penyelidikan MARDI sepanjang rantaian nilai daripada pengeluaran hingga penghasilan produk bernilai tambah," jelas kenyataan itu.

Selain itu jelas kenyataan MARDI, dalam memperluas akses kepada hasil penyelidikan, Laman Agromadani menghimpunkan teknologi, produk dan hasil inovasi daripada stesen-stesen MARDI di seluruh negara untuk dipamerkan dan dijual kepada pengunjung. Inisiatif ini turut membuka ruang pasaran dan menghubungkan hasil penyelidikan MARDI dengan pengguna secara lebih dekat.

"Dari sudut pengkomersialan, pencapaian sembilan MOU/MOA, termasuk lapan kerjasama bernilai RM6.27 juta, memperlihatkan potensi MAHA sebagai medan strategik untuk mempertemukan MARDI dengan pemain industri, syarikat dan usahawan bagi meneroka peluang pembangunan serta pengembangan teknologi dan inovasi.

"Pelancaran varieti baharu seperti Limau Bali MELoMAX 1 dan MELoMAX 2 serta Ubi Keledek V8 turut memperkukuh usaha MARDI dalam menterjemahkan hasil penyelidikan kepada inovasi yang memberi nilai kepada petani, industri dan pengguna," jelas kenyataan itu.

"Secara keseluruhannya, penyertaan MARDI di MAHA 2026 memperlihatkan ekosistem penyampaian teknologi yang merangkumi pameran, pemindahan ilmu, demonstrasi, pembangunan produk, jualan dan pengkomersialan," jelas kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, dengan pencapaian 73,656 pengunjung, RM241,391 nilai jualan serta sembilan MOU/MOA dengan lapan kerjasama bernilai RM6.27 juta, MARDI terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI) dalam memastikan hasil penyelidikan dan teknologi pertanian diterjemahkan kepada impak sebenar kepada petani, usahawan, industri dan masyarakat, seterusnya menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

Must Watch Video

Advertisement