Skip to main content

Malaysia

MAHAR sambut baik permohonan maaf NGO Rohingya, gesa penglibatan lebih luas

Sumber: Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR)
MAHAR menyambut baik permohonan maaf yang dikemukakan oleh 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Rohingya dan  menyifatkannya sebagai satu langkah bertanggungjawab yang positif sambil menggesa kumpulan berkenaan supaya meluaskan usaha kemanusiaan mereka.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) menyambut baik permohonan maaf yang dikemukakan oleh 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Rohingya dan  menyifatkannya sebagai satu langkah bertanggungjawab yang positif sambil menggesa kumpulan berkenaan supaya meluaskan usaha kemanusiaan mereka.

Menurut MAHAR dalam satu kenyataan, kerja-kerja kemanusiaan sewajarnya melangkaui sekadar penyediaan makanan dan tempat tinggal, malah perlu merangkumi aspek mendidik pelarian mengenai tanggungjawab mereka sepanjang berada di Malaysia.

Ia berkata, NGO terbabit harus memainkan peranan yang lebih besar dalam memupuk rasa hormat dalam kalangan pelarian terhadap undang-undang, budaya, adat resam serta nilai kemasyarakatan di Malaysia bagi menggalakkan persefahaman yang lebih baik dengan komuniti tempatan.

MAHAR turut menggesa organisasi berkenaan memperhebat usaha advokasi antarabangsa bagi menamatkan penindasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar, memandangkan kerja kemanusiaan yang mampan perlu menangani punca utama krisis berkenaan.

Sementara itu, Presiden MAHAR, Jismi Johari berkata, kerja-kerja kemanusiaan juga perlu mengambil kira faktor keselamatan kedua-dua pihak, iaitu pelarian dan komuniti setempat yang menerima kehadiran mereka.

Beliau berkata, kebimbangan yang dibangkitkan oleh sesetengah rakyat Malaysia berhubung isu keselamatan tempatan tidak seharusnya dipandang remeh, terutamanya oleh mereka yang terkesan secara langsung oleh insiden membabitkan individu dalam mana-mana komuniti.

Pada masa yang sama, Jismi menegaskan, adalah tidak adil untuk membuat anggapan umum terhadap keseluruhan komuniti berdasarkan tindakan segelintir individu, memandangkan salah laku wujud dalam setiap masyarakat.

Beliau berkata, usaha menangani kebimbangan sedemikian memerlukan empati, rasa hormat-menghormati dan penglibatan yang membina daripada semua pihak berkepentingan.

MAHAR mengulangi komitmennya untuk meneruskan kerja kemanusiaan yang berteraskan keadilan, keselamatan dan maruah insan, untuk pelarian mahupun rakyat Malaysia.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement