Gerakan Siswa4U menyeru semua mahasiswa seluruh negara bertindak proaktif terlibat secara langsung dalam proses Pilihan Raya Umum ke-13.

Pengerusi Zon UiTM Chapter Siswa4U, Zaharin Haris melihat ia sekaligus membolehkan kelompok kepimpinan masa hadapan negara menimba pengalaman dan berupaya berfikir dalam mencorakkan arena politik di masa hadapan.

siswa4u

"Inilah masa terbaik untuk mahasiswa melibatkan diri untuk melihat politik peringkat kepimpinan negara," kata Zaharin.

Ini kerana, PRU-13 merupakan pilihan raya umum pertama pasca pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang membenarkan mahasiswa berpolitik.

Ia dilihat sebagai peluang kepada mahasiswa merasai serta memahami sendiri arus politik negara pada masa sekarang.

Siswa4U antara lain menyeru supaya semua pengundi muda menilai semua manifesto pilihan raya yang terhidang ketika ini.

Pada masa yang sama, gerakan itu juga menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Antara sebab kami sokong ialah aku janji BN Selangor. Kami teruja kerana BN bakal meneruskan penubuhan UiTM di Serendah Hulu Selangor yang dihalang penubuhannya akibat campur tangan politik kerajaan negeri," tambah beliau.

Selain itu, Siswa4U berpendirian menolak segala bentuk pendekatan politik kotor sebaliknya mengangkat budaya politik berintegriti.