Seramai 31 mahasiswa tahun akhir Fakulti Informatik dan Komputeran (FIK) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyertai Program Inspirasi Jalinan Ukhuwah Anak Yatim bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Binjai.

Pensyarah FIK, Zaami Mohamad berkata program itu diadakan bertujuan untuk memupuk minat mahasiswa khususnya mahasiswa tahun akhir bagi menyumbang sesuatu kepada komuniti sesuai dengan UniSZA sebagai sebuah universiti komuniti.

"Ini juga sebagai satu dorongan dan galakan kepada pelajar untuk membina sahsiah diri yang terpuji dan mencapai kecemerlangan dalam akademik," katanya yang juga penasihat program.

Katanya lagi, program itu menfokuskan kepada pelajar Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 4 dari sekolah tersebut.

"Kita juga telah menjalankan beberapa aktiviti dan pengisian sesuai dengan umur pelajar yang hadir dengan dibahagikan kepada beberapa kumpulan bersama fasilitator.

"Dengan ini mereka dapat meluangkan masa dan dapat bertanya serba sedikit mengenai kehidupan di alam universiti untuk perancangan mereka pada masa akan datang," katanya.

Antara aktiviti yang diadakan adalah 'Binaan Monumen Masa Hadapan', 'Explorace Kejayaan' dan 'Matlamat Kehidupan'.

Program dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor (PTNC) HEPA dan SMK Binjai itu berlangsung selama tiga hari itu diadakan di Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK).

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, (Unit Pengurusan Pembangunan Kemanusian), Mahzan Hamzah.

Turut hadir, Pengetua SMK Binjai, Mazidah Che Embong, Pengetua Asrama Yayasan Terengganu Kemaman, Mohd Rozaizam Yusoff dan YDP PIBG SMK Binjai, Wahab Mohd Zin.
_________________________________________________________________________________

*Awani Rangers ialah inisiatif Astro Awani bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.