SEPANG: Malaysia Airports (MAHB) mencatatkan 8.9 juta pergerakan penumpang pada Februari 2026, menjadikan jumlah terkumpul setakat tahun ini kepada 18.3 juta penumpang untuk dua bulan pertama tahun ini.
MAHB dalam satu kenyataan hari ini berkata angka itu menunjukkan peningkatan 5.8 peratus tahun ke tahun (y-o-y) berbanding tempoh yang sama pada 2025.
Advertisement
Pengarah Urusan Datuk Mohd Izani Ghani berkata trafik penumpang bagi dua bulan pertama 2026 mencatat permulaan yang stabil di seluruh rangkaian lapangan terbang tempatan, mencerminkan perkembangan kesalinghubungan dan permintaan berterusan untuk perjalanan udara.
“Walaupun jumlah penumpang meningkat, piawaian perkhidmatan dikekalkan secara konsisten,” katanya.
Beliau juga berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi meraih pengiktirafan kali kelima berturut-turut sebagai Lapangan Terbang Terbaik di Asia Pasifik (dua hingga lima juta penumpang) di bawah Anugerah Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) 2025 oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI).
Menurut MAHB, pertumbuhan itu disokong oleh pengenalan perkhidmatan baharu syarikat penerbangan dan peningkatan kekerapan penerbangan di laluan serantau utama sepanjang tempoh perjalanan Tahun Baharu Cina.
Sepanjang bulan itu, beberapa syarikat penerbangan memperkenalkan laluan baharu dan perkhidmatan sewa khas, termasuk penerbangan sewa khas Greater Bay Airlines antara Hong Kong dan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan perkhidmatan sewa khas China Eastern Airlines dari Hefei, katanya.
Ia berkata Batik Air Malaysia turut memulakan penerbangan antara Kota Kinabalu dan Singapura, manakala Firefly melancarkan laluan sewa khas yang menghubungkan Tawau dan Nanjing.
Selain itu, MAHB berkata Spring Airlines memulakan perkhidmatan antara Pulau Pinang dan Guangzhou, manakala Xiamen Airlines memperkenalkan laluan baharu yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Hangzhou.
Musim perayaan Tahun Baharu Cina juga menyebabkan kekerapan penerbangan yang lebih tinggi di beberapa laluan domestik dan serantau.
Syarikat penerbangan, termasuk Malaysia Airlines, Firefly, AirAsia dan Batik Air menambah perkhidmatan ke destinasi yang mempunyai permintaan tinggi seperti Kuching, Johor Bahru, Tawau dan Sibu untulk membantu menampung peningkatan permintaan perjalanan musim perayaan apabila keluarga dan pengembara untuk rekreasi kembali ke kampung halaman dan destinasi percutian mereka.
Pada Februari, KLIA mengendalikan 5.5 juta penumpang, seterusnya menjadi penggerak utama trafik antarabangsa di laluan yang menghubungkan Asia Tenggara, China dan hab serantau utama yang lain.
Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu merekodkan 760,620 pergerakan penumpang, mewakili peningkatan 1.3 peratus berbanding Januari.
Walaupun mencatat pertumbuhan positif, MAHB berkata ia akan terus memantau dengan rapi perkembangan global yang mempengaruhi sektor penerbangan, termasuk situasi yang sedang berkembang di Asia Barat, sambil memastikan operasi yang selamat, boleh dipercayai dan cekap di seluruh rangkaiannya.
-- BERNAMA