Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan khabar angin di laman sosial bahawa sekolah di beberapa negeri ditutup sehingga Selasa ini ekoran cuaca panas melampau.

"Pengumuman itu tidak benar dan tiada arahan seumpama itu dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia," katanya melalui akaun Twitter.

Beliau turut menyertakan paparan berita yang tersebar di aplikasi WhatsApp.

Maklumat palsu tersebut menyatakan bahawa sekolah-sekolah di beberapa negeri akan disambung cuti sehingga 22 Mac ini berikutan cuaca panas.


Kementerian Pendidikan sebelum ini berkata akan terus memantau perkembangan cuaca dan sebarang arahan penutupan bergantung kepada maklum balas Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Dalam perkembangan sama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata Kementerian Pendidikan perlu mempertimbangkan keputusan bagi menutup sementara sekolah di kawasan yang dilanda cuaca panas melampau.

Beliau berkata langkah itu perlu berikutan terdapat pelajar berjalan kaki jauh untuk sampai ke sekolah dalam keadaan cuaca tersebut.

"Ada kawasan tertentu di negara ini cuaca panas telah meningkat ke suhu tinggi dan terdapat pelajar perlu berjalan kaki sehingga dua hingga tiga kilometer kerana tiada pengangkutan terutamanya kawasan pedalaman," katanya.

Sehubungan itu, bagi menentukan sekolah yang perlu ditutup, Dr Subramaniam berkata Kementerian Pendidikan serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar perlu berbincang dan mencari kata putus mengenai perkara tersebut.

Katanya, ketika ini adalah lebih penting agar semua sekolah di negara ini mengurangkan aktiviti pembelajaran di luar kelas khususnya aktiviti melibatkan tenaga dan fizikal.

"Perkara ini penting kerana melihat kepada peningkatan kes pesakit terkena strok haba di negara ini," katanya.

Hari ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dalam kenyataan berkata Kementerian Pendidikan dicadang menutup sesi persekolahan di Alor Setar, Kedah dan Chuping, Perlis esok berikutan suhu melebihi 37 darjah celcius yang dicatatkan di kedua-dua lokasi itu sejak 1 Mac.

"Berdasarkan Garis Panduan Pelan Tindakan Menangani Gelombang Haba maka sesi persekolahan di Alor Setar dan Chuping boleh dicadangkan agar ditutup bermula pada Ahad, 20 Mac," katanya.

Madius berkata bagaimanapun, keputusan sama ada sesi persekolahan akan ditutup atau tidak, akan diumumkan oleh Mahdzir sepertimana diarahkan oleh kabinet.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa, berkata Kementerian Pendidikan akan memutuskan sama ada sekolah perlu ditutup sekiranya cuaca panas melampau masih berterusan selepas tamat cuti pertengahan penggal pertama persekolahan minggu ini.

Semalam, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sekolah di sesuatu kawasan akan ditutup jika suhu melebihi 37 darjah celcius selama lebih 72 jam.

Malaysia kini mengalami cuaca panas dan kering yang disebabkan oleh fenomena El Nino.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca panas dan kering ini akan berakhir pada Mei atau Jun, dengan suhu dijangka paling panas esok kerana fenomena ekuinok.