KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan akan mendengar dua persoalan undang-undang yang dikemukakan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid berhubung pertuduhan gagal mengisytiharkan harta.
Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Arief Emran Arifin membenarkan dua persoalan undang-undang yang dipohon balu bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu.
Advertisement
"Saya telah membaca hujahan-hujahan kedua-dua pihak. Namun, saya hanya membenarkan dua persoalan sahaja dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan,” kata hakim itu dan Na'imah dikecualikan kehadirannya di mahkamah hari ini.
Hakim itu berkata soalan pertama adalah sama ada Seksyen 30(5) dan 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 melanggar hak terhadap perlindungan daripada menyalahkan diri sendiri, atau hak untuk tidak dipaksa mengemukakan bukti yang menunjukkan seseorang bersalah, atau hak untuk berdiam diri, atau prinsip anggapan tidak bersalah, atau hak kepada perbicaraan yang adil dan melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
Soalan kedua pula adalah sama ada Seksyen 30(5) dan 36(2) Akta SPRM 2009 memenuhi ujian kekadaran tiga peringkat sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Na'imah diwakili peguam Datuk Gurdial Singh Nijar dan Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.
Sementara itu, Gurdial ketika ditemui media selepas prosiding kes tersebut berkata dua persoalan yang dibenarkan akan memberi kesan terhadap pertuduhan yang dihadapi Na'imah.
Pada 21 Ogos 2025, Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan Na’imah untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang menolak permintaannya merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan berhubung pertuduhan yang dihadapinya.
Muniandy membuat keputusan itu selepas mendapati persoalan dibangkitkan Na'imah itu bukan remeh atau penyalahgunaan proses mahkamah sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen di sini pada 18 Feb 2025 menolak permohonan Na'imah bagi merujuk persoalan undang-undang mengenai kesahihan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas mendapati permohonan itu tidak bermerit kerana tiada isu perlembagaan berbangkit dalam kes berkenaan.
Pada 29 Feb 2024, Na’imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang membabitkan Seksyen 30(5), Seksyen 36(2) dan Seksyen 62 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ke Mahkamah Tinggi.
Na'imah didakwa pada 23 Jan 2024 di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA