KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan perintah larangan bersuara terhadap pengarah dan penulis skrip Mentega Terbang, Mohd Khairianwar Jailani untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau komen berhubung kes dihadapinya.

Ini berikutan Hakim K.Muniandy menolak permohonan semakan yang difailkan Mohd Khairianwar selaku pemohon pada 18 Jan lepas di Mahkamah Tinggi bagi mencabar perintah larangan dikeluarkan Mahkamah Majistret di sini.

"Mahkamah mengekalkan perintah larangan itu untuk memelihara kepentingan perbicaraan selepas mengambil kira sifat pertuduhan yang dihadapi pemohon, selain mengetepikan perintah lapor diri di balai polis dan jaminan RM6,000 dikekalkan,"kata Muniandy semasa pengurusan kes hari ini.

Permohonan semakan berkenaan dibuat atas alasan larangan itu menyalahi undang-undang dan menyekat kebebasan bersuara.

Terdahulu, peguam Zaid Malek yang mewakili Mohd Khairianwar berkata alasan permohonan itu dibuat kerana pihak pembelaan percaya Mahkamah Majistret telah menyalahtafsirkan prinsip-prinsip perintah larangan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Mohd Izhar berkata perintah larangan itu perlu dikekalkan kerana ia melibatkan isu agama.

Pada 17 Jan lepas, pengarah, Mohd Khairianwar, 32, dan penerbit, Tan Meng Kheng, 36, didakwa di dua Mahkamah Majistret berasingan atas pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain melalui filem itu, tahun lepas.

Mereka didakwa dengan sengaja melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan orang di sebuah premis di Jalan Semarak Api di sini pada 12.34 tengah hari 26 Feb 2023.

Mohd Khairianwar, yang juga penulis skrip, dan Tan didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua mahkamah membenarkan Mohd Khairianwar dan Tan masing-masing diikat jamin RM6,000 dan RM6,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan setiap tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Pihak pendakwaan juga memohon perintah larangan bersuara supaya kedua-dua tertuduh tidak membuat sebarang komen atau kenyataan secara umum mengenai inti pati kes sehingga kes ini selesai.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri mengharamkan tayangan dan publisiti filem itu menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 2662 Akta Penapisan Filem 2002 Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani oleh menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Filem itu, yang ditayang menerusi platform penstriman video, telah mengundang kecaman dan kegusaran orang awam kerana didakwa memaparkan adegan dengan unsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama.

-- BERNAMA