Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan ganti rugi RM318,326 yang diberi Mahkamah Tinggi kepada seorang suri rumah yang cedera setelah ditembak polis pada 2009.

Panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim berkata mahkamah berpuas hati bahawa hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam dapatannya berkaitan fakta dan undang-undang dalam memberi ganti rugi kepada Norizan Salleh.

"Kami dapati tiada sebab untuk mengganggu dapatan Mahkamah Tinggi berkaitan liabiliti dan ganti rugi," katanya dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan yang dikemukakan polis dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Hakim Abang Iskandar yang bersidang dalam panel itu bersama Hakim-Hakim P. Nallini dan Dr Prasad Sandosham Abraham, juga memerintahkan polis dan kerajaan membayar kos perundangan RM10,000 kepada Norizan.

Pada 4 Sept tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng membenarkan saman sivil Norizan, 35, ibu dua anak, terhadap polis dan kerajaan dan memberi beliau pampasan RM50,000 bagi kesakitan dan penderitaan; RM50,000 bagi serangan dan kecederaan; RM18,326 sebagai ganti rugi khas dan RM200,000 sebagai ganti rugi teladan.

Hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa perayu gagal untuk mebuktikan tembakan itu atas dasar mempertahankan diri memandangkan keterangan jelas menunjukkan tembakan dilepaskan berulang kali secara berterusan pada kereta yang dinaiki Norizan berdasarkan kepada gambar yang dikemukakan kepada mahkamah.

Beliau (Hakim Hue) berkata Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) tidak membenarkan perkara ini, dan menambah, IGSO hanya boleh digunakan jika anggota polis berdepan bahaya yang boleh menyebabkan kematian.

Norizan yang ditembak lima kali, dengan sebutir peluru terbenam di dalam paru-parunya, memfailkan saman pada 15 Okt 2012, dengan mendakwa polis melepaskan tembakan ke arahnya tanpa sebarang justifikasi.

Beliau menamakan Koperal Mohd Firdaus Rosli, yang bertugas di Balai Polis Sentul, Ketua Polis Sentul, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Norizan berkata pada 4 pagi, 30 Okt 2009, sebuah kereta peronda polis mengejar kereta yang dinaikinya bersama rakannya di Jalan Lingkaran Tengah II (MRR2) sebelum tembakan dilepaskan ke arah mereka.

Beliau mendakwa apabila kereta itu berhenti, beliau cuba keluar dari kereta tetapi ditendang sehingga terjatuh.

Akibatnya, kata Norizan, beliau terpaksa dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan Institut Jantung Negara disebabkan kecederaan pada pergelangan tangan kanan dan luka tembakan di bahagian dada.

Peguam Kanan Persekutuan Rozielawati Ab. Ghani dan Wan Suhaila Mohd hadir bagi pihak perayu. Peguam N.Surendran mewakili Norizan dengan dibantu peguam Latheefa Koya.