Skip to main content

Malaysia

Mahkamah Koroner tetapkan tujuh hari inkues kematian pelajar 10 tahun, panggil 51 saksi

Bernama
Koroner Tasmin Abu Bakar menetapkan prosiding itu berlangsung pada 14 dan 21 Sept, serta 5 hingga 7 Okt selain 21 dan 28 Okt dengan sesi bermula pada 2.30 petang. -Gambar fail/Bernama
Advertisement

SEREMBAN: Mahkamah Koroner di sini hari ini menetapkan tempoh tujuh hari bagi prosiding inkues siasatan kematian pelajar lelaki berusia 10 tahun, yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Senawang, Oktober tahun lepas.

Koroner Tasmin Abu Bakar menetapkan prosiding itu berlangsung pada 14 dan 21 Sept, serta 5 hingga 7 Okt selain 21 dan 28 Okt dengan sesi bermula pada 2.30 petang.

Terdahulu, pegawai pengendali inkues Norazihah Asmuni berkata sebanyak 51 saksi akan dipanggil memberi keterangan termasuk guru, pelajar dan rakan mangsa.

Pada prosiding hari ini bapa mangsa Muhammad Hafizuddin Abdullah, 41, dan ibu Zuzita Murib Sagita, 40, turut hadir ke mahkamah.

Peguam mewakili keluarga mangsa Muhammad Yazid Mohamad Salim mengemukakan dua permohonan iaitu supaya ibu dan bapa, dibenarkan membuat pemeriksaan terhadap saksi serta memohon salinan dokumen berkaitan dibekalkan kepada pihaknya.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad sebelum ini, dilaporkan berkata punca kematian murid lelaki tahun empat yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Senawang pada 1 Okt lepas disebabkan tekanan pada leher.

Beliau berkata bedah siasat yang dijalankan di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau juga mendapati tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement