Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan pelakon era 90-an, Benjy dan rakan wanitanya daripada dua pertuduhan memiliki dadah jenis syabu, Mac lalu.

Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md. Nor memutuskan demikian terhadap Benjy atau nama sebenarnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 38, dan Julia Ernie Jamaludin, 26, selepas pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie ke atas kedua-dua tertuduh.

Benjy dan Julia Ernie masing-masing didakwa memiliki dadah jenis syabu dengan berat 1.71 gram dan 3.01 gram di The Reeds Boutique Hotel, Jalan Yap Ah Shak, Dang Wangi, pada pukul 9.30 malam, 5 Mac lalu.

Kedua-dua pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut seksyen 12 (2) (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih 100 ribu ringgit atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, mahkamah mengarahkan Julia Ernie untuk membela diri bagi satu lagi pertuduhan memiliki 0.37 gram syabu di tempat, waktu dan tarikh sama.