KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan RBTR Asset Management Berhad dan lima lagi defendan untuk membayar sebanyak RM13.352 juta sebagai ganti rugi kerana peranan mereka dalam skim Euro Deposit Investment (EDI) pada 30 Mac 2021, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Dalam kenyataan pada Isnin, SC berkata mahkamah memerintahkan aset-aset defendan dijejaki dan dibayar kepada SC untuk membuat pampasan kepada pelabur skim EDI.

Katanya, mahkamah juga mengisytiharkan RBTR, yang merupakan pengurus dana yang dilesenkan oleh SC, telah melanggar obligasi dan/atau tugasnya di bawah garis panduan pengurus dana dan telah gagal melaksanakan ketelitian wajar untuk melindungi wang pelabur.

"Pada 2009, SC telah memfailkan saman sivil terhadap RBTR dan lima lagi defendan iaitu Locke Guarantee Trust Limited (LGT), New Zealand; Locke Capital Investments Ltd (LCI); British Virgin Island; Isaac Paul Ratnam (Issac Ratnam); Joseph Lee Chee Hock (Joseph Lee) dan Nicholas Chan Weng Sung (Nicholas Chan)," menurut SC.

Pada 17 Mei 2012, SC membatalkan Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSL) RBTR.

Saman sivil tersebut telah difailkan susulan siasatan SC pada Ogos 2009 terhadap skim EDI selepas menerima aduan daripada pelabur.

SC berkata sejumlah 106 pelabur telah diperdaya untuk menyertai skim tersebut yang menjanjikan, antara lain, pulangan tahunan sebanyak lapan peratus yang akan dibayar apabila matang.

Katanya, pelabur telah diperdaya dengan mempercayai bahawa pelaburan mereka telah didepositkan ke dalam sebuah bank di Eropah yang diberi penarafan "AAA" dengan perlindungan kepada modal dan pendapatan penuh.

"Sejumlah RM13.35 juta khususnya pelaburan yang telah matang pada Februari 2009-Mei 2009, tidak dibayar," katanya.

SC berkata skim EDI telah dipasarkan oleh RBTR bersama LGT dan LCI, yang bertindak sebagai Pengurus Dana di Malaysia secara bersama dengan RBTR.

Menurut SC, defendan yang lain iaitu Nicholas Chan dan Joseph Lee merupakan pengarah LGT dan LCI, manakala Isaac Ratnam merupakan individu yang dikaitkan dengan operasi kedua-dua syarikat itu.

-- BERNAMA