PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini mengembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk mendengar semula permohonan pihak pendakwaan bagi melucut hak RM277,771 daripada sebuah syarikat tekstil, dan dua pengarahnya.
Barisan panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Wong Kian Kheong, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K. Muniandy membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan kes itu didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang baharu serta menetapkan 29 Jun untuk pengurusan kes.
Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Wong berkata hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang apabila menggunakan Aturan 41, Kaedah 5(1) dan (2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bagi prosiding yang melibatkan permohonan di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi gagal mempertimbangkan bahawa Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 secara jelas memperuntukkan bahawa ia tidak terpakai jika terdapat peruntukan statutori khusus, serta tidak terpakai kepada permohonan yang bersifat jenayah.
Beliau berkata terdapat peruntukan undang-undang mandatori di bawah Seksyen 40 dan 71 Akta AMLA yang membenarkan penerimaan keterangan berdasarkan kenyataan responden kepada polis semasa siasatan.
Pada Mac tahun lepas, di bawah Seksyen 56(1) Akta AMLA, pihak pendakwaan memfailkan permohonan terhadap Syafwana Trading dan pengarahnya Siti Murni Abu Hassan serta Halimah Bakar untuk melucut hak RM277,771.31, yang disimpan dalam akaun bank milik syarikat.
Permohonan itu dibuat susulan siasatan yang mengesan aliran dana daripada kes penipuan apabila seorang mangsa memindahkan RM2,348.40 pada 25 Jan 2024 ke akaun bank milik seorang lelaki. Dana itu kemudiannya dipindahkan melalui beberapa akaun individu lain sebelum RM3,680 didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank yang dikaitkan dengan syarikat berkenaan.
Siasatan turut mendapati seorang individu mengaku meminjamkan akaun banknya kepada seorang individu dikenali sebagai “Mat Alif” selepas dibayar RM200.
Pada 19 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Alor Setar membenarkan bantahan awal yang dikemukakan syarikat berkenaan, dan menolak permohonan pelucuthakan oleh pihak pendakwaan.
Dalam prosiding Mahkamah Rayuan hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari berhujah bahawa Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang-undang apabila menolak permohonan pelucuthakan berdasarkan hujah dengar cakap, dengan menyatakan bahawa Seksyen 40 dan 71 AMLA secara jelas mengecualikan pemakaian sebarang undang-undang yang menghalang kebolehterimaan keterangan yang diperoleh semasa siasatan.
Peguam Muhammad Adam Burhanudeen dan Burhanudeen Abdul Wahid mewakili pihak responden.
-- BERNAMA