PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan rayuan bekas Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung saman fitnahnya terhadap Lim Guan Eng ke tarikh lain.

Hakim Datuk Azizah Nawawi, yang mengetuai panel tiga hakim berkata mahkamah memerlukan masa untuk meneliti perkara itu dan akan memutuskannya pada tarikh lain.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mei untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh keputusan.

Azizah, Datuk Seri Mariana Yahya dan Datuk Azimah Omar hari ini mendengar hujahan secara dalam talian daripada peguam Porres Royan yang mewakili Abdul Azeez dan Datuk N. Mureli yang merupakan peguam bagi Lim.

Abdul Azeez merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Dis 2020 yang menolak saman fitnahnya terhadap Lim, bekas ketua menteri Pulau Pinang, berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Abdul Azeez telah memfailkan saman itu pada Mac 2018, mendakwa Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan fitnah semasa sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri pada 28 Feb 2018 dan semasa rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada hari sama yang mengaitkan beliau dengan pembayaran sebanyak RM3 juta sebagai yuran perundingan oleh pemaju projek terowong bawah laut.

Beliau meminta ganti rugi am dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam rayuan hari ini, Porres, yang dibantu oleh Craig Ho, berhujah bahawa alasan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rosilah Yop semasa menerima pembelaan Lim bagi pengakuan justifikasi adalah jelas salah.

Beliau berkata hakim gagal memahami bahawa Lim tidak mengemukakan sebarang bukti tentang kebenaran tuduhan bahawa Abdul Azeez telah menerima wang daripada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd berhubung projek itu

Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi mendapati kenyataan yang dibuat terhadap Abdul Azeez adalah fitnah tetapi beliau menerima pembelaan Lim bagi pengakuan justifikasi dan menolak saman Abdul Azeez selepas mendapati antara lain Lim telah mengemukakan soalan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebab Abdul Azeez tidak ditahan.

Mureli, yang dibantu Felix Lim, bagaimanapun menyangkalnya dan berkata kenyataan anak guamnya itu bukan terhadap Abdul Azeez tetapi menyasarkan pihak lain dan SPRM berhubung tindakan pihak berkuasa untuk mendakwa seseorang dan tidak mendakwa orang lain.

Beliau berkata pembelaan pengakuan justifikasi terpakai kepada Lim kerana beliau adalah Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu yang mempunyai kewajipan untuk membangkitkan dan menjelaskan isu yang relevan serta berkepentingan awam.

-- BERNAMA