KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari mengenepikan satu sepina yang dikeluarkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Raja Rozela Raja Toran untuk memberi keterangan dalam proseding terhadap Datuk Lokman Noor Adam yang didakwa menghina seorang anggota polis mahkamah dan mempersoalkan sistem mahkamah dalam perbicaraan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada TPR Mohamad Mustaffa P Kunyalam dan peguam Lokman, K Balaguru.

"Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, saya mendapati pendakwa raya hanyalah membantu mahkamah selaku seorang pegawai mahkamah di atas permintaan mahkamah. Juga tiada asas untuk dakwaan beliau mengelirukan atau berbohong kepada mahkamah.

"Justeru saya mengetepikan sepina yang dikeluarkan kepada beliau dan bagaimanapun saya tidak mengenakan sebarang kos ke atas peguam," kata Sequerah.

Terdahulu, Mohamad Mustaffa berhujah sepina itu patut diketepikan kerana Raja Rozela bukan saksi material kerana TPR pada waktu material membantu mahkamah atas pelawaan hakim.

"Pengeluaran sepina itu adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah, untuk menakut-nakutkan dan memalukan TPR yang menjalankan tugas beliau sebagai seorang pegawai mahkamah," kata beliau sambil menambah responden (Lokman) sepatutnya memanggil polis berkenaan dan bukannya menjadikan pegawai itu yang menjalankan tugasnya sebagai mangsa.

Balaguru pula berkata dalam satu laporan yang dibuat oleh polis mahkamah itu, beliau berkata beliau mendengar perkataan "stupid".

"Jadi, di manakah anak guam saya memanggil anggota polis itu 'stupid' ?" soal peguam itu.

Lokman didakwa menghina seorang Lans Koperal dengan memanggilnya "stupid" dan mempersoalkan sistem mahkamah pada perbicaraan Ahmad Zahid pada 30 Jun lepas.

Anggota polis itu kemudian memberitahu perkara itu kepada penolong kanan pendaftar yang kemudiannya memberitahu kepada Raja Rozela sebelum beliau memaklumkannya kepada mahkamah.

Susulan itu, responden telah memohon supaya satu sepina dikeluarkan kepada Raja Rozela dan permohonan itu dibenarkan oleh Sequerah. Sepina itu diserahkan kepada Raja Rozela pada 26 Julai lepas.

Pendengaran terhadap kes penghinaan mahkamah itu di hadapan Sequerah ditetapkan pada 3 Ogos ini.

-- BERNAMA