Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar petisyen perceraian yang difailkan jutawan Tan Sri Khoo Kay Peng terhadap isterinya, bekas ratu cantik Malaysia, Puan Sri Pauline Chai Siew Phin.

Hakim Datuk Yeoh Wee Siam membenarkan permohonan Khoo untuk memutuskan sama ada mahkamah di Malaysia mempunyai bidang kuasa mendengar petisyen itu sambil berkata mahkamah berpuas hati bahawa Malaysia ialah tempat bermastautin Khoo, 75, dan Chai, 68.

Hakim Yeoh juga menetapkan RM15,000 sebagai kos.

"Suami adalah warganegara Malaysia dan beliau bermastautin di Malaysia. Tidak seperti kedudukan di UK dan juga di Singapura, tiada undang-undang digubal di Malaysia untuk memansuhkan peraturan common law berhubung dengan pergantungan tempat bermastautin isteri.

"Oleh itu, di bawah undang-undang Malaysia sekarang, yang masih mengguna pakai kaedah common law, tempat bermastautin isteri bergantung kepada tempat bermastautin suami.

"Oleh kerana tidak dapat dipertikaikan bahawa tempat bermastautin suami ialah di Malaysia, ia terpakai bahawa isteri, walaupun dia bukan lagi warganegara Malaysia sekarang, juga bermastautin di Malaysia," katanya.