MALAYSIA
Mahkamah Tinggi tolak permohonan komital bekas pengendali Menara KL

Mahkamah memerintahkan MKLSB dan Hydroshoppe membayar kos berjumlah RM25,000 kepada semua defendan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas pengendali Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd.(MKLSB) dan syarikat induknya, Hydroshoppe Sdn Bhd.untuk memulakan prosiding komital terhadap lapan individu, termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan kerajaan Malaysia.
Ringkasan AI
- Mahkamah menolak permohonan komital: Mahkamah Tinggi menolak permohonan MKLSB dan Hydroshoppe untuk memulakan prosiding komital terhadap lapan individu termasuk Menteri Komunikasi dan kerajaan Malaysia, kerana gagal melepasi ambang yang diperlukan.
- Keputusan terhadap injunksi dan saman: Mahkamah turut menolak permohonan injunksi oleh MKLSB dan Hydroshoppe untuk menghalang penyerahan konsesi Menara KL kepada LSH Service Master, serta sebelum ini menolak rayuan berkaitan perkara yang sama di Mahkamah Rayuan.
- Tuntutan ganti rugi dan konsesi: MKLSB dan Hydroshoppe mendakwa LSH bertindak tidak jujur dan menuntut ganti rugi RM1 bilion serta penyerahan semula konsesi pengurusan Menara KL kepada mereka.
Dalam permohonan tersebut, kedua-dua syarikat berkenaan mendakwa pihak-pihak terbabit telah mengganggu pentadbiran keadilan walaupun prosiding saman sivil masih berjalan, dan memohon agar tindakan menghina mahkamah diambil terhadap mereka.
Pada prosiding sama, mahkamah turut menolak permohonan injunksi inter-parte oleh MKLSB dan Hydroshoppe terhadap lima pihak termasuk LSH Service Master Sdn Bhd bagi menghalang penyerahan konsesi Menara KL kepada syarikat itu.
Peguam Vinayak Sri Ram mewakili pihak pemohon, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi mewakili Kementerian Komunikasi, Fahmi Fadzil serta kerajaan Malaysia.
Sebelum ini, pada Mei lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan MKLSB dan Hydroshoppe yang memohon injunksi ad-interim bagi menghalang penyerahan konsesi Menara KL kepada LSH Service Master. Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Collin Lawrence Sequerah bersama Datuk Dr Choo Kah Sing dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
MKLSB dan Hydroshoppe sebelum ini memfailkan saman pelanggaran kontrak terhadap LSH dan unitnya, mendakwa bahawa tindakan mereka telah menyebabkan pelanggaran perjanjian konsesi yang dimeterai antara syarikat tersebut dan kerajaan dalam satu mesyuarat pada Ogos 2022.
Mereka juga mendakwa LSH Capital dan anak syarikatnya bertindak secara tidak jujur serta menuntut agar penyerahan konsesi kepada LSH Service Master diisytiharkan tidak sah dan terbatal.
Selain itu, mereka menuntut ganti rugi berjumlah kira-kira RM1 bilion serta penyerahan semula konsesi pengurusan bangunan ikonik itu kepada pihak mereka.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami