KUALA LUMPUR : Calon Perdana Menteri yang ditawarkan oleh UMNO menjadi penentu kepada kemenangan dan mandat yang akan diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Onn Hafiz Ghazi berpendapat, rakyat mahu tahu calon Perdana Menteri parti Melayu itu memandangkan pilihan raya dijangka semakin hampir.

Menurut beliau, untuk mengetahui kehendak rakyat, ahli parti diseru supaya bertanya kepada mereka yang terdekat mengenai calon Perdana Menteri yang benar-benar layak mewakili parti itu.

Tegasnya, golongan yang terdekat dengan seseorang individu itu disifatkan lebih jujur kerana kasih sayang mereka bukan sahaja kepada ahli parti, tetapi juga kepada UMNO itu sendiri.

"Tanya sahaja kepada mereka yang terdekat dengan kita. Tanya suami atau isteri, adik-beradik dan sahabat terdekat sama ada Presiden UMNO sesuai ditawarkan sebagai calon Perdana Menteri.

"Tanyalah kepada mereka yang tiada kepentingan peribadi selain mahu melihat negara Malaysia yang penuh potensi untuk menjadi yang lebih baik dan maju.

"Kepada orang muda parti, bersuaralah dan bercakap benar. Beritahu kepada kepimpinan luahan hati akar umbi dan rakyat. Jangan kita menjadi orang yang zalim pada diri sendiri dengan membiarkan pisang berbuah dua kali," demikian tulisnya dalam entri di laman Facebook, hari ini.

BACA: Rakaman audio didakwa mirip suara Anwar-Zahid tersebar

BACA: Saya mula hidu sesuatu yang tidak kena sejak Ogos tahun lepas - Annuar Musa

BACA: Zahid perlu berundur jika mahu menteri UMNO letak jawatan - Pemuda UMNO Pontian

Mengulas lanjut, Onn Hafiz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor berkata, UMNO bukan sekadar perlu menjawab teka-teki siapa calon Perdana Menteri.

Sebaliknya, tegas beliau lagi, keputusan tersebut perlu melambangkan bahawa parti itu telah belajar daripada kekalahan pada PRU14.

Katanya lagi, desakan supaya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengundurkan diri dibuat kerana ramai pemimpin berpandangan bahawa UMNO akan kalah jika Presiden UMNO itu memimpin ke medan perang PRU15.

"Perdana Menteri merupakan individu yang akan mengetuai kerajaan dan segala dasar dan hala tuju negara akan dicorakkan oleh ketua kerajaan ini.

"Ia akan ada impak kepada ekonomi, pendidikan dan segala hal ehwal negara dan rakyat untuk sekurang-kurangnya lima tahun.

"Oleh itu, rakyat akan memilih berdasarkan siapa yang UMNO tawarkan kepada mereka. Kalau baik tawarannya maka Insya-Allah baiklah keputusannya dan begitu juga sebaliknya," tambahnya.

Terdahulu, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan bahawa pemilihan kepimpinan UMNO yang baharu akan diadakan pada Jun depan.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, Perlembagaan UMNO telah menetapkan tempoh memegang jawatan dihadkan kepada tiga tahun sahaja.

Katanya, kali terakhir pemilihan pucuk kepimpinan UMNO berlangsung pada 30 Jun 2018 dan tempoh itu akan tamat pada Jun depan.

Ketika ini, ada beberapa pihak yang mendesak agar Ahmad Zahid berundur diri sebagai Presiden UMNO.