KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di bawah program Prihatin Kasih Asnaf 3.0 memperuntukkan sebanyak RM4.4 juta khusus buat petugas barisan hadapan yang mengendalikan kes berkaitan COVID-19.

MAIWP dalam satu kenyataan berkata, sumbangan berupa kit barangan makanan itu diserahkan kepada mereka yang bertugas di 15 pusat menguruskan pesakit COVID-19 di Wilayah Persekutuan.

“Ia terdiri daripada sembilan buah pusat yang mengendalikan kes yang disyaki (PUI) dan sahih COVID-19 dan sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

“Selain itu, lima buah Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) bagi menguruskan pesakit COVID-19 di Wilayah Persekutuan,” kata kenyataan tersebut pada Jumaat.

Simbolik penyerahan sumbangan disampaikan Pengerusi MAIWP, Datuk Dr Mohd Daud Bakar kepada Timbalan Pengarah Klinikal (Perubatan) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Mohammad Salleh Yahya, sebagai mewakili pusat yang terlibat.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya dan Pengurus Bahagian Baitulmal, Ahmad Talmizi Yahaya.

MAIWP berkata, agihan kit barangan makanan itu akan dilaksanakan sehingga penghujung tahun ini dan sebagai tanda menghargai kesediaan mereka demi amanah agama dan negara.

“Agihan barangan makanan ini telah dilaksanakan bermula Julai 2021 sehingga Disember 2021.

“Ini adalah sebagai tanda penghargaan atas kesediaan mereka meletakkan diri dalam risiko jangkitan demi amanah agama dan negara,” katanya lagi.