KUALA LUMPUR : Seorang lelaki berusia 53 tahun direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian memukul dan mengugut pemandu peribadinya pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, suspek ditahan sepasukan anggota polis kira-kira jam 4.50 petang Sabtu.

“Pada 1 Mei 2021, kira kira jam 4.50 petang, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang telah menahan suspek di Pejabat D7 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang.

“Suspek telah dibenarkan untuk ditahan reman selama dua hari sehingga 3 Mei 2021,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Jelasnya, polis menerima laporan daripada mangsa berusia 28 tahun yang juga pemandu peribadi suspek kira-kira jam 9.15 pagi semalam.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku di rumah suspek di Country Heights, Kajang antara jam 1.22 pagi.

Mangsa dan suspek dikatakan baharu sahaja pulang dari Kuala Lumpur sebelum kedua-dua mereka bertengkar.

“Ketika pertengkaran berlaku, suspek telah mengugut untuk menembak mangsa sekiranya mangsa keluar dari rumah suspek.

“Suspek juga ada mengeluarkan kata-kata kesat kepada mangsa dan juga menendang mangsa di bahagian bahu,” jelasnya lagi.

Suspek turut bertindak agresif dengan merosakkan motosikal milik mangsa sehingga menyebabkan mangsa terpaksa meminta bantuan orang awam untuk melarikan diri sebelum membuat laporan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323,506,427 dan 341 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, melakukan ugutan jenayah, melakukan perbuatan khianat serta melakukan halangan salah terhadap mangsa.

Terdahulu, tular sebuah video suspek memakai baju-T dan seluar pendek bertengkar dengan mangsa.

Video berdurasi 3.30 minit itu turut memaparkan lelaki terbabit menendang dan menengking mangsa sebelum menjerit minta tolong pengawal keselamatan di kawasan berkenaaan.